Majikan Gagal Bayar Gaji Minimum: 1,853 Kes Tuntutan Buruh


KUALA LUMPUR – Sejumlah 1,853 tuntutan buruh berhubung kegagalan majikan membayar gaji minimum difailkan setakat 31 Ogos lepas, Dewan Rakyat diberitahu semalam.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abu Muttalib berkata pemeriksaan dijalankan Jabatan Tenaga Kerja mendapati 549 kes selesai dibicarakan di Mahkamah Buruh, manakala selebihnya masih dalam siasatan jabatan berkenaan.

“Sejumlah 112,057 majikan melaksanakan gaji minimum kepada pekerja selepas Perintah Gaji Minimum 2016 dikuatkuasakan pada 1 Julai lepas,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini.

Beliau menjawab soalan Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid (PKR-Kuala Langat) yang ingin tahu tindakan diambil kerajaan kepada majikan yang ingkar membayar gaji minimum.

Perintah Gaji Minimum 2016 memperuntukkan kadar gaji RM1,000 sebulan bagi Semenanjung Malaysia dan RM920 sebulan bagi Sabah, Sarawak dan Labuan, berkuat kuasa mulai 1 Julai lepas. – BERNAMA