Malaysia Airlines Bakal Sewa A380 Untuk Haji, Umrah


LONDON – Malaysia Airlines Berhad (MAB) sedang berbincang untuk menyewakan pesawat A380 milik syarikat itu kepada agensi pelancongan yang berminat menguruskan ibadah haji dan umrah.

Perkara tersebut dinyatakan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Peter Bellew kepada agensi berita antarabangsa Reuters di sini hari ini sekali gus mencipta kejutan kepada banyak pihak apabila menjadi tajuk besar media di seluruh dunia.

Beliau bagaimanapun menjelaskan ia hanyalah antara langkah MAB untuk mengurangkan kerugian dan menghakis kebimbangan terhadap kemerosotan permintaan bagi kegunaan pesawat saiz besar dalam jangka masa pendek.

MAB setakat ini memiliki enam pesawat terbesar di dunia itu yang setiap satunya mampu memuatkan kira-kira 525 penumpang daripada keseluruhan 22 buah pelbagai model Airbus selain baki 54 buah lagi pesawat jenis Boeing.

“Pesawat Airbus bersaiz gergasi sebegini tidak memanfaatkan dari segi kewangan buat masa ini kerana pihak MAB perlu menjimatkan banyak kos sebagai sebahagian daripada usaha penyusunan semula syarikat,” jelas Bellew.

Sebelum ini usaha untuk menjual pesawat itu tidak berhasil. Langkah MAB menyewa A380 bagi penerbangan haji dan umrah sekali gus memberi lebih imej Islamik selaras dengan Islam sebagai agama persekutuan di Malaysia.

Pengkritik menyifatkan usaha terbaharu ini ekoran pandangan umat Islam yang mendakwa dua tragedi menimpa MAB pada 2014 melibatkan MH370 dan MH17 sebagai peringatan Allah SWT ke atas MAB agar lebih patuh syariah.

Susulan itu, pihak MAB dilaporkan mahu mengkaji semula hidangan arak dalam pesawat selain perubahan pakaian pramugari bagi bersaing dengan tiga syarikat udara patuh syariah iaitu Saudi Airlines, Iran Air dan Royal Brunei.

Mengulas lanjut, Bellew berkata MAB sedang berbincang kemungkinan memeterai perjanjian dengan beberapa agensi pelancongan bagi menyewa pesawat dan petugas MAB untuk membawa jemaah ibadah haji dan umrah.

Perbincangan antara MAB dan pelanggan berpotensi bermula 10 minggu lalu dan Bellew yakin dapat mencapai persetujuan sebelum hujung tahun ini dan pesawat A380 itu bakal digunakan selama lapan bulan setiap tahun.

“Saya percaya ia akan berlaku,” katanya yang mengambil alih jawatan daripada Christoph Mueller pada Julai lalu sambil menambah perjanjian dimeterai dijangka cukup untuk menampung kos A380. – Agensi