Mangsa Air Pasang Di Kota Kuala Muda Kekal 94 Orang


SUNGAI PETANI – Jumlah mangsa akibat fenomena air pasang besar di enam buah kampung di Kota Kuala Muda di sini, pada pagi ini masih kekal seperti semalam iaitu seramai 94 orang daripada 27 keluarga.

Pegawai Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Kuala Muda, Lt Muda Pertahanan Awam, Azahar Ahmad berkata kesemua mangsa termasuk 20 warga emas dan seorang warga kurang upaya (OKU) wanita, masih ditempatkan di empat pusat pemindahan yang dibuka sebelum ini.

“Sehingga 9.30 pagi, kesemua mangsa masing-masing masih berada di rumah pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Sungai Meriam menempatkan 21 mangsa termasuk dua warga emas, manakala Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Kuala pula menempatkan 29 mangsa termasuk 12 warga emas dan seorang wanita OKU.

“Seramai 20 mangsa termasuk dua warga emas masih berada di dewan Kampung Paya, dan seramai 24 mangsa termasuk empat warga emas ditempatkan di dewan Masjid Haji Yusof Bukit Kecil,” katanya kepada Bernama.

Tambahnya, situasi di enam buah kampung iaitu Kampung Masjid, Kampung Ujung Matang, Kampung Padang Salim, Kampung Yu, Kampung Paya dan Kampung Sungai Meriam, masih diawasi anggota keselamatan walaupun fenomena air pasang besar dijangka berakhir hari ini. – BERNAMA