MCA Kedah Ajak Akar Umbi Tepis Tohmahan Pembangkang Di Media Sosial


ALOR SETAR - Seluruh ahli di peringkat akar umbi MCA disaran untuk bertindak lebih aktif menggunakan media sosial sebagai platform bagi menjawab pelbagai tohmahan dan tuduhan tidak benar terhadap pemimpin dan kerajaan Barisan Nasional.

Naib Pengerusi MCA Kedah, Datuk Leong Yong Kong berkata, penglibatan lebih ramai pemimpin dan ahli akar umbi parti itu yang bukan saja akan mengukuhkan lagi MCA, bahkan turut menepis segala propaganda berniat jahat daripada pihak pembangkang.

"Saya amat setuju dengan seruan yang dibuat Presiden parti kita sebab kita semua bertanggungjawab bersama mempertahankan parti dan kerajaan.

"Penglibatan seramai-ramai mungkin ahli-ahli parti tidak kira status dalam parti pastinya akan meningkat lagi kekuatan parti melawan propaganda berniat jahat daripada pembangkang," katanya ketika dihubungi Kedahnews.com, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Exco Kerajaan Negeri Kedah itu juga menjelaskan bahawa sememangnya MCA mempunyai pasukan khas yang ditubuhkan bagi memantau dan menyebarkan maklumat tepat di pelbagai peringkat parti itu.

Jelasnya, MCA sering menyediakan fakta-fakta benar dan sah untuk tujuan sebaran tersebut khususnya bagi menjawab isu-isu semasa yang menjadi bahan propaganda dan putar belit pihak pembangkang di media sosial.

"Dalam parti MCA, di peringkat kebangsaan, negeri dan bahagian, memang ada ditubuhkan pasukan pemantauan media sosial yang melakukan sebaran maklumat dasar parti dan kerajaan, pendapat atau pendirian parti terhadap isu semasa, serta membekal fakta maklumbalas terhadap isu-isu tertentu atau 'counter' fitnah/tohmahan mana-mana pihak, khususnya parti pembangkang," katanya kepada Kedahnews.com.

Selain itu katanya, ramai juga pemimpin dan ahli MCA yang sebelum ini aktif menggunakan media sosial sebagai medium untuk mereka berkomunikasi dengan rakyat dan menjelaskan tentang informasi yang benar, serta menangkis serangan propaganda pembangkang.

"Tambahan wakil rakyat dari MCA dan pemimpin pelbagai lapisan parti yang aktif juga bertindak melalui strategi masing-masing dalam laman sosial media," jelasnya lagi.


Dr Leong diminta mengulas mengenai gesaan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai, semalam yang menggesa semua pemimpin dan akar umbi parti itu memanfaatkan medium media sosial bagi menjawab propaganda dan tuduhan tidak benar yang dilemparkan pembangkang terhadap pemimpin dan kerajaan BN. -Kedahnews.com