Memaju Atau Merosakkan Negara: Bersih Dicabar Berdebat Terbuka


ALOR SETAR - Sebuah NGO di sini hari ini mencabar pihak penganjur Bersih 5 untuk menyahut cabaran mereka berdebat secara terbuka bagi mencari jawapan sebenar tentang niat sebenar Bersih sama ada mahu memajukan negara atau sebaliknya.

Penasihat Persatuan Pengukuhan Perpaduan Rakyat Pulau Pinang, Datuk Dr. Leong Yong Kong berkata, pelbagai persoalan perlu dijawab penganjur himpunan "Baju Kuning" itu yang dikatakan telah mengelirukan ramai kaum Cina di negara ini.

"Mereka kena buktikan mengapa gerakan Bersih ini menguntungkan negara ini. Jika (gerakan) mereka betul-betul menguntungkan negara, debat dengan kita. Kita tak mahu buat maca cara baju merah...

"Dari awal gerakan Bersih sampai hari ini, apa sudah jadi? Apakah mereka membawa kebaikan kepada negara kita? Apakah mereka nak membawa kemajuan atau membawa kemajuan kepada negara kita?," persoal Dr. Leong dalam satu sidang akhbar yang diadakan di pejabat beliau di Wisma Darul Aman, di sini, hari ini.

Exco Kerajaan Negeri Kedah itu mencadangkan supaya debat tersebut diadakan di dalam bahasa Cina ekoran wujud kajian yang mengatakan ramai masyarakat Cina di negara ini yang telah terpengaruh dengan dakyah Bersih berbanding kaum lain.

"Dari kajian yang baru di buat.. sekarang, yang masih menyokong gerakan Bersih memang majoritinya datang dari masyarakat Cina. Masyarakat bukan Cina mungkin sudah sedar tentang gerakan Bersih ini ada sesuatu yang tak kena.

"Kita tidak tuduh masyarakat Cina sebagai anti-kerajaan, cuma mungkin mereka masih terkeliru berbanding dengan masyarakat lain, jangan disalahkan tafsirkan pula," jelas Naib Pengerusi MCA Negeri Kedah itu lagi.

Mengulas lanjut, beliau menetapkan "Bersih 5 Akan Memajukan Negara Atau Sebaliknya" sebagai debat berkenaan dan pihaknya sedia untuk berdebat di mana-mana lokasi, tarikh dan masa yang dipilih oleh penganjur himpunan Bersih 5 itu.

Sekiranya pihak Bersih berani menyahut cabaran itu, mereka akan berdebat dengan Pengerusi NGO berkenaan yang juga merupakan penganalisis politik, Peter Chew, dan Dr Leong akan turut sama berdebat sekiranya sesi debat berkenaan melibatkan lebih dari seorang pendebat.

Jelas beliau lagi, tindakan Bersih sebelum ini telah menyebabkan berlaku fenomena "cause and effect" di mana ia telah mengakibatkan wujudnya kumpulan yang tidak sehaluan (baju merah) sebagai satu tindak balas terhadap himpunan demi himpunan kumpulan "baju kuning" itu.

Ekoran tidak mahu menggunakan cara "baju merah", kerana itulah pihaknya mencabar penganjur Bersih 5 untuk berdebat secara terbuka bagi mendedahkan niat sebenar kumpulan "baju kuning" itu mengadakan demonstrasi saban tahun.

"Kita rasa cara berkonvoi beramai-ramai dan cara berdemonstrasi oleh Bersih 5 walaupun mereka mempunyai hak dan dibenarkan kalau akur dan mengikut peraturan Akta Himpunan Aman, tapi suatu tindakan itu akan membawa balasan daripada pihak-pihak yang tidak sehaluan, tidak sependapat.

"Platform yang terbaik sekali ialah dengan berdebat dengan Peter Chew dan bagi rakyat faham sedalam-dalamnya apa sebenarnya yang dilakukan oleh Bersih

"Apa yang Bersih lakukan, ia tidak akan memajukan negara kita. (Sebaliknya) sekiranya diteruskan, ia akan mengelirukan rakyat dan mencetuskan perkelahian di kalangan rakyat di negara kita," Dr Leong menjelaskan tentang tujuan cabaran itu dilakukan.

Gerakan Bersih sebelum ini telah memulakan konvoi "baju kuning" mereka di seluruh negara dan dijangka akan mengadakan himpunan Bersih 5 pada November ini.

Reaksi susulan dari konvoi tersebut telah mengakibatkan wujud kumpulan "baju merah" yang tampil membantah penganjuran konvoi dan himpunan Bersih 5 itu sehingga mencetus kekecohan serta pergaduhan, baru-baru ini. - Kedahnews.com