Mungkin bagi sesetengah pengguna di negara ini, produk minuman berasaskan 3 in 1 adalah memudahkan, lebih-lebih lagi ia seakan produk yang wajib ada buat setiap pejabat.
Dengan lambakan pelbagai jenis pilihan, membuatkan pengguna rambang mata nak memilih yang mana satu menepati citarasa.
Namun, apakah benar informasi yang dinyatakan di setiap bungkusan produk 3 in 1 ini benar-benar menggunakan sukatan yang betul?
Atau, adakah sesetengah produk 3 in 1 yang menggunakan ginseng dikatakan berupaya memberikan tenaga ekstra seperti yang didakwa?
Baca perkongsian dari Doktor Zubaidi Hj Ahmad, yang membongkar sedikit informasi mengenai produk 3-in-1 yang kita sebagai pengguna tidak ketahui selama ini.
Pensyarah Program Dietetik, Pusat Pengajian Sains Kesihatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Shariza Abd. Razak berkata, walaupun ada minuman itu dikatakan mengandungi ginseng atau tongkat ali untuk menambahkan tenaga, namun kandungannya amat sedikit.
“Ia tidak memberi sebarang kesan dalam penjagaan kesihatan. Sebaliknya ia mengandungi gula yang banyak iaitu lebih daripada tiga sudu teh.
“Namun, ramai yang tidak menyedarinya kerana telah ditenggelamkan oleh rasa pahit kopi tersebut,” katanya.
Menurut Prof Shariza, selain kandungan gula yang tinggi, kebanyakan minuman 3-in-1 yang dijual di pasaran juga menggunakan krimmer susu bukan tenusu yang merupakan sejenis lemak tepu yang boleh membahayakan kesihatan kerana ia boleh menyumbat saluran arteri darah dan seterusnya menyebabkan penyakit koronari jantung dan angin ahmar.
Kesannya, para pesakit jantung atau diabetes yang minum minuman itu secara tidak terkawal boleh menyebabkan penyakit mereka menjadi lebih serius. -Kedahnews.com