ALOR SETAR - Konsep berpolitik secara matang yang diamalkan PAS menjadi punca penyebab parti itu menolak untuk menyertai himpunan Bersih 5 yang dijangka berlangsung pada 19 November di ibu negara nanti.
Mursyidul Am PAS, TG Ustaz Hashim Jasin menegaskan pendekatan politik secara matang tersebut diamalkan ekoran perubahan landskap politik negara
"Ia kerana suasana waktu itu..yang tu kena ingat, PAS sokong. Tapi suasana sekarang ia berbeza. Sebab apabila kita lahirkan budaya politik matang ini, kita tak mahu perjatuh pemimpin yang zalim.. itu (pilihan) yang terakhir.
"Kita minta dia (pemimpin kerajaan) ubah sistem. Ini yang kita sedang buat, perancangan dan sebagainya," jelasnya menjelaskan punca sebenar PAS enggan menyertai himpunan Bersih 5, anjuran NGO Bersih yang diketuai oleh Maria Chin Abdullah.
Tegas Hashim lagi, isu tuduhan mengenai 1MDB dan dana politik RM2.6 pemberian keluarga DiRaja Arab Saudi kepada Presiden UMNO, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak tidak cukup kukuh terbukti secara sahih untuk PAS bertindak terhadap Perdana Menteri itu.
"Yang ni tak betul.. 1MBD ke, duit RM2.6 bilion, tak tau lagi dok mana, tak dibawa ke mahkamah, kita pun tak tahu selok beloknya, takkan kita sokong? Yang tu kita tak sokong.
"Kalau nak buat tuduhan-tuduhan ikut 'liaw' (tanpa asas dan bukti yang kukuh) begitu, kita tak mau.. Kita tak akan melaksanakan hat itu," jelasnya.
Kata Hashim, PAS mempunyai pendekatan tersendiri melalui politik matang untuk berdepan dengan situasi itu, sekaligus menandakan mereka yang menyertai himpunan Bersih 5 nanti seolah-olah tidak berpolitik secara matang.
Walau bagaimanapun, Ahli Parlimen (PAS) Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar baru-baru ini mengesahkan pendiriannya untuk hadir menyertai himpunan Bersih 5 menimbulkan tanda tanya sama ada beliau menyambut budaya politik matang PAS atau tidak. -Kedahnews.com