Mursyidul Am PAS Dedah Punca Tak Setuju Sertai Pakatan


ALOR SETAR - PAS tidak setuju dengan pendekatan parti-parti pembangkang yang berterusan memujuk parti itu untuk bekerjasama dengan matlamat mahu tumbangkan Barisan Nasional (BN) untuk memegang tampuk kuasa Kerajaan Pusat.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Ustaz Hashim Jasin menegaskan bahawa PAS tidak pernah mengamalkan dasar yang membawa matlamat keduniaan dalam perjuangan politik parti itu, sebaliknya lebih bermatlamatkan mencari keredhaan Allah di dunia dan akhirat.

"Dok ajak kita (PAS) bersatu untuk tumbangkan BN, kita (pembangkang) jadi Perdana Menteri, apakah itu yang Tuhan suruh?

"Kalau matlamat kita matlamat dunia, bimbang jika Allah tak terima kita bila kita menghadapi Allah.

"Tapi kalau matlamat kita mencari keredhaan Allah, apa yang Tuhan kata, yang itu boleh," jelas Hashim.

Parti-parti pembangkang sebelum ini melakukan pelbagai pendekatan terhadap PAS untuk menarik parti itu bekerjasama dengan mereka bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 bagi tujuan menumbangkan BN.

PAS bagaimanapun berkeras dan enggan menerima "pujukan" tersebut, sebaliknya membentuk Gagasan Rakyat, sebuah blok ketiga parti politik di negara ini dengan menjalin bekerjasama bersama parti Ikatan.

Parti itu juga menegaskan bahawa pihak mereka telah memutuskan untuk "berpatah arang" dengan DAP dan tidak sesekali akan bersama parti itu lagi selepas ini. -Kedahnews.com