KANGAR – Mursyidul Am PAS yang baharu, Ustaz Hashim Jasin menegaskan parti itu tidak akan sama sekali bekerjasama dengan DAP lagi dan sanggup menghadapi pertandingan tiga penjuru pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Beliau menyifatkan hubungan PAS dengan DAP ibarat ‘berpatah arang’ kerana DAP mungkir janji dan enggan bekerjasama dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Katanya kerjasama dengan DAP pada PRU ke-13 lepas berdasarkan ‘tahaluf siyasi’ (pendekatan politik) bersyarat manakala kerjasama dengan UMNO atas dasar perpaduan umat Islam demi mendapat keredhaan Allah SWT.
“Kita tidak mahu ulangi kesilapan dipatuk dua kali di tempat sama kerana menjalin semula kerjasama dengan DAP,” kata Hashim pada sidang media di sini, semalam.
Bekas Pesuruhjaya PAS Perlis lebih 20 tahun itu dilantik baru-baru ini bagi menggantikan tempat Allahyarham Datuk Dr Harun Din yang meninggal dunia di California, Amerika Syarikat, bulan lepas.
Menurut Hashim, PAS tidak kisah jika berlaku pentandingan tiga penjuru membabitkannya, Barisan Nasional dan parti-parti pakatan lain pada PRU akan datang.
Pendekatan berbaik-baik dengan UMNO bukan kerana PAS dilihat lemah menjelang PRU ke-14 berikutan perpecahan dalaman sehingga wujud PAN (Parti Amanah Negara), katanya.
“Dulu (zaman Allahyarham Datuk Nik Aziz) berbeza namun dasar perjuangan PAS untuk menegakkan syiar Islam tidak berubah, bukan mengikut kepala orang yang dilantik menjadi Mursyidul Am),” tambah beliau.
Hashim berkata kerjasama dengan PKR dan PAN akan ditentukan pada mesyuarat jawatankuasa PAS Pusat pada 22 dan 23 Okt ini di markasnya di ibu negara yang akan membentangkan kajian kerjasama politik dengan parti-parti lawan.
Katanya PAS kini mengamalkan politik matang dan bukan politik ‘cari makan’ atau semata-mata untuk memenangi PRU.
Mengenai pujukan PKR dan PAN untuk PAS menyertai mereka dengan mendakwa peluang memenangi PRU akan lebih cerah, Hashim berkata PAS telah dapat melihat matlamat itu. – BERNAMA