PADA 10 September lalu, satu jenayah kebencian didakwa berlaku di New York melibatkan seorang wanita yang menunjukkan sentimen anti-Islam terhadap dua wanita Islam dan anak-anak mereka. Wanita itu cuba menanggalkan hijab wanita Islam tersebut, bahkan turut menyerang mereka. Syukur tidak berlaku kecederaan serius.
Dalam satu kejadian lain pada hari sama, seorang lelaki cuba membakar wanita Islam di hadapan kedai kasut di New York. Syukur juga, wanita Islam tersebut terselamat.
Namun ada juga mangsa yang menjadi korban jenayah kebencian ini. Antaranya, seorang Imam dan rakannya yang ditembak mati di siang hari semasa berjalan pulang daripada menunaikan solat di Queens. Beberapa minggu kemudian, seorang wanita berpakaian seperti wanita Muslim ditikam sehingga maut ketika dalam perjalanan pulang ke rumah bersama suaminya juga di Queens.
Berdasarkan kejadian yang berlaku ini dapat disimpulkan bahawa hak-hak beragama di Amerika Syarikat sedang terancam. Sungguh ironi apabila kejadian mengerikan dan tidak bertamadun ini berlaku dalam sebuah negara yang cukup berbangga sebagai pejuang demokrasi, kemerdekaan, hak asasi manusia dan kebebasan beragama.
Apabila membaca berita tentang tindakan wanita di New York itu cuba untuk menanggalkan hijab dari kepala wanita Islam tersebut, penulis terus terkenang sirah nabawi tentang peperangan menentang Bani Qainuqa’.
Semasa zaman Nabi Muhammad SAW di Madinah, umat Islam terkenal dengan amanah dan kesetiaan mereka seperti yang dituntut dalam Piagam Madinah. Antaranya, mereka amat menjaga keamanan dan keharmonian antara rakyat berbilang agama dan etnik.
Namun, terdapat sebahagian penduduk Madinah yang ingkar dengan perjanjian itu sehingga menggugat keharmonian. Mereka itulah Bani Qainuqa’. Bani tersebut adalah salah satu daripada tiga kaum Yahudi yang tinggal di Madinah. Dua kaum Yahudi yang lain ialah Bani Nadhir dan Bani Quraizah.
Syeikh Ramadhan Al-Buti dalam Fiqh Sirah menceritakan pada suatu hari, terdapat seorang wanita Islam yang pergi ke pasar Bani Qainuqa’ untuk membeli barang. Dia berhenti di satu gerai yang mana pemuda-pemuda Bani Qainuqa’ mengganggu dan menyuruhnya menanggalkan hijab.
Apabila wanita ini memberontak, pemuda-pemuda tersebut mula menggunakan kekerasan yang turut disertai penjual Yahudi di gerai berkenaan. Penjual ini memijak pakaian wanita itu yang meleret ke tanah lalu apabila wanita tersebut bangkit dan bergegas hendak meninggalkan tempat itu, kainnya tersingkap sehingga menampakkan aurat.
Suasana menjadi hingar dengan gelak tawa pemuda-pemuda Yahudi di sekitar gerai tersebut. Insiden inilah yang mendorong Rasulullah dan para Sahabat memerangi Bani Qainuqa’. Kubu mereka dikepung selama 14 hari sehingga terpaksa menyerah diri, diusir keluar dan selamanya tidak dibenarkan menduduki Madinah serta berjiran dengan orang Islam.
Sesungguhnya kita telah diberi amaran oleh Allah melalui ayat-ayat al-Quran yang menyebut tentang ketaksuban orang kafir, Yahudi dan Nasrani yang tidak akan berpuas hati selagi Islam itu tertegak di muka bumi ini.
Sesungguhnya kisah ini tidak jauh berbeza dengan kenyataan yang dibuat oleh tokoh Yahudi ketika zaman Rasulullah, Syas bin Qais apabila dia melihat Aus serta Khazraj memeluk Islam dan duduk bersama dalam majlis ilmu mempelajari Islam, seperti dinukilkan dalam ‘Sirah Nabawiyah’ oleh Syeikh Syafiyyurrahman al-Mubarakfuri.
Dia berkata; “Aus dan Khazraj dahulunya bergaduh sesama mereka. Demi Tuhan, aku tidak boleh membiarkan mereka bersatu!” Jelas agenda utama mereka adalah untuk menimbulkan kekacauan dan melemahkan barisan umat Islam. Sasarannya adalah untuk menundukkan Islam dan menafikan usaha menegakkan syiar dan syariat Allah SWT.
Bukankah ini mirip dengan situasi semasa? Di satu pihak kita menyaksikan bagaimana keras kepala, taksub dan angkuhnya propaganda anti-Islam disebarkan sehingga berjaya menanam Islamofobia dalam kalangan masyarakat. Terbaharu, penentangan terhadap Rang Undang-undang 355 yang dibentangkan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Di satu pihak lagi kita melihat bagaimana ‘baik hati’ dan ‘mulia’ sekumpulan orang Islam mempertahankan proksi-proksi anti-Islam ini yang sentiasa berniat menghalang usaha memartabatkan Islam dan institusinya.
Jadi, siapakah yang akan pertahankan Islam dan Perlembagaan? Tambahan pula apabila mereka yang ingin berbuat demikian serta-merta akan digelar sebagai rasis dan ekstremis.
Artikel 3 dengan jelas memperuntukkan bahawa Islam adalah agama bagi Persekutuan. Kes-kes mahkamah sebelum ini juga memutuskan bahawa Islam itu terletaknya di atas, berdiri di hadapan, dan lebih lantang berbanding agama lain di negara ini. Namun pengiktirafan ini datang dengan tanggungjawab untuk memelihara kesucian dan kedaulatannya.
Rakyat Malaysia secara umumnya sensitif dan cemas jika menyentuh isu-isu perkauman. Golongan populis seperti DAP pula akan memulakan kenyataan fakta yang terlalu ringkas dan membenarkan prejudis sedia ada masyarakat untuk menentukan dan mempengaruhi perbincangan di ruangan umum. Akhirnya, kita melihat umat Islam juga yang berbalah sesama sendiri.
Ini samalah seperti yang dilakukan oleh Syas bin Qais setelah melihat Aus dan Khazraj duduk bersama. Dia meminta seorang pemuda mendekati Aus dan Khazraj, duduk bersama mereka dan memperingatkan kembali peperangan Bu’ats di antara mereka sebelum memeluk Islam dan syair-syair yang mereka bacakan sesama mereka yang penuh dengan cacian.
Tidak lama kemudian, Aus dan Khazraj mula berbalah, bilah pedang dihunuskan dan pertumpahan darah hampir saja berlaku jika tidak Rasulullah datang menenangkan keadaan. Insiden-insiden seperti inilah yang merupakan kezaliman serius terhadap Islam, Perlembagaan dan orang Islam di negara kita.
UN News Centre memetik kenyataan Zeid Ra’ad Al Hussein, Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia PBB: “The formula is therefore simple: make people, already nervous, feel terrible, and then emphasize it’s all because of a group, lying within, foreign and menacing.”
Zeid Ra’ad Al Hussein |
Beliau menambah; “Then make your target audience feel good by offering up what is a fantasy to them, but a horrendous injustice to others. Inflame and quench, repeat many times over, until anxiety has been hardened into hatred.”
Kenyataan ini dibuat ketika membantah cadangan ahli politik Belanda Geert Wilders untuk menghalang kemasukan imigran dari negara-negara Islam dan menutup masjid, sekolah Islam dan pusat suaka.
Inilah juga naratif yang ingin dikenakan terhadap rakyat Malaysia iaitu apabila orang Islam ingin menegakkan syariah dan menyatakan pandangan Islam terhadap isu semasa, proksi-proksi inilah yang akan menuduh orang Islam sebagai ekstremis dan rasis.
Lebih mendukacitakan, segelintir orang Islam tidak menyedari siapakah musuh sebenar. Mereka gagal menilai luar daripada kepentingan politik dan rela mengorbankan saudara Islam yang menentang rakan-rakan politik mereka.
Sehingga umat Islam di negara ini bersatu, kita tidak akan mampu melindungi atau mengutuk penindasan yang berlaku ke atas saudara seagama kita dan rakyat Malaysia secara amnya.
*DANIAL ARIFF SHAARI, PENULIS ialah aktivis Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)/Utusan