Yom mendiami rumah usang ini bersama anaknya. |
ALOR SETAR - Seorang wanita warga emas bersama anak OKU dikatakan terpaksa tinggal di kediaman usang di Kampung Padang Lalang, Alor Janggus, di sini, untuk berteduh daripada panas dan hujan akibat kesempitan hidup.
Anak lelakinya, Ahmad Zakri, 32, berkata, kekangan kewangan menyebabkan kakaknya, Masitah Hussain, 44, dan ibu mereka, Yom Saad, 76, terpaksa tinggal di situ, biarpun rumah itu mengalami banyak kerosakan termasuk bumbung bocor, lantai reput dan dinding rosak dimakan anai-anai.
Katanya, walaupun kurang selesa, namun dia tidak mampu membaiki sendiri rumah itu kerana hanya bergantung kepada upah kerja kampung yang tidak menentu.
“Mujur mak terima bantuan daripada Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) RM500 sebulan, wang itulah digunakan untuk menyara kehidupan mereka,” katanya.
Pegawai Zakat Cawangan Kota Setar, Shahabudin Ahmad berkata, Yom yang kehilangan suami beberapa tahun lepas merupakan penerima bantuan bulanan LZNK sejak 2011.
Katanya, tinjauan mendapati rumah didiami dua beranak itu semakin usang, justeru Zakat Kedah telah memasukkan nama Yom sebagai penerima bantuan rumah.
“Melalui lawatan ini, kita pantau semula keadaan keluarga itu sekiranya memerlukan bantuan semasa.
"Mereka memang memerlukan bantuan rumah dan LZNK telah memasukkan mereka sebagai penerima. Difahamkan, pihak yang menawarkan untuk menambun tanah bagi menyediakan tapak rumah telah mula melakukan kerja berkaitan,” katanya.
Tambah Shahabudin, setelah kerja menambun tanah siap sepenuhnya, LZNK akan membina segera rumah untuk mereka sekeluarga.
Sementara itu, Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat, Mohd Sani Harun berkata, syarat utama permohonan rumah bantuan zakat mestilah golongan asnaf miskin dan ada tanah sendiri.
Katanya, pemohon diharap bersabar kerana permohonan sangat banyak dan LZNK akan mengagihkan secara berperingkat.
Sumber: Sinar Harian