Nikah Di Thailand, Awie Dakwa Dirinya Keturunan Raja Siam


TINDAKAN penyanyi dan pelakon terkenal, Awie melangsungkan perkahwinan ketiganya di Thailand baru-baru ini telah menimbulkan tanda tanya ramai peminat.

Berikutan itu, Awie nama penuhnya Ahmad Azhar Othman, 48, tampil menjelaskan bahawa dia sebenarnya memiliki darah keturunan raja Siam.

Menurut Awie, dirinya berasal daripada keturunan Raja Sulaiman iaitu pengasas wilayah Songkla, dan sejarah keturunannya itu diketahui selepas dia mengkaji selama empat tahun.

“Selepas empat tahun mengkaji mengenai keturunan sen­diri, saya dapati saya sebenar­nya adalah keturunan Raja Su­laiman yang berasal dari lo­kasi tersebut.

“Sebab itu, saya mahu memastikan kali ini sa­ya berkahwin di lokasi tanah tumpah nenek moyang sendiri,” katanya kepada sebuah akhbar tempatan.

Pada masa yang sama, Awie turut mempertahankan keputusannya berkahwin di Thailand kerana merasakan tiada yang salah.

Tambahnya, majlis itu diadakan secara teratur dan turut diraikan dengan perarak­an bermotor yang disertai oleh lebih 100 peserta.

Pada Jumaat lalu, Awie selamat diijab kabulkan dengan Sharifah Ladyana Syed Shamsuddin, 29, di Masjid Sultan Sulaiman, Songkla, Thailand.

Majlis ini turut disaksikan anak-anak Awie, keluarga dan sahabat terdekat.


Terdahulu, Awie pernah mendirikan rumah tangga dengan Arni Nazira Anuar pada tahun 1998. Bagaimanapun, perkahwinan itu tidak bertahan lama.

Mereka dianugerahkan dua anak perempuan iaitu Puteri Aleeya Antasha, 16, dan Puteri Aleefa Antasha, 14.

Awie seterusnya berkahwin secara rahsia di selatan Thailand dengan Rozana Misbun, 38, pada 2005 dan memiliki tiga anak iaitu Putra Ahmad Merrah, 9, Putra Ahmad Rezzki, 7, dan Puteri Qasseh Antasha, 6.

Pada 1 November 2014, Rozana dilaporkan berjaya mendapatkan tuntutan fasak secara taklik terhadap Awie dari pejabat Majlis Agama Islam, Songkhla, Thailand.

Kes pengesahan perceraian mereka masih lagi berjalan di mahkamah syariah dalam negara. – Kedahnews.com