KUALA LUMPUR – Apakah obesiti tidak dianggap sebagai masalah, sehingga jumlah rakyat Malaysia yang obes meningkat dari setahun ke setahun?
Jika obesiti sesuatu yang ditakuti, masakan rakyat Malaysia yang obes terus bertambah? Hakikatnya, golongan obes bukan sahaja berisiko tinggi menghadapi masalah kesihatan malah gangguan emosi, moral dan sosial.
Berkongsi pengalaman ketika mempunyai berat badan 145kg, Ahmad Farhan Ab Karim, 30, berkata akibat masalah kegemukan, beliau pernah menjadi bahan gurauan, diejek dan dihina oleh masyarakat menyebabkannya hilang keyakinan diri.
“Ada yang memanggil saya ‘tong drum’ dan ‘gemuk bodoh’. Berat badan saya bertambah sejak di sekolah menengah.
“Setelah bertahun-tahun begitu, saya sedar kesan kegemukan terhadap kesihatan selain mahu meningkatkan keyakinan diri. Lalu saya nekad untuk kurus.
Memang, bukan senang nak kurus,” katanya yang kini berjaya mengurangkan berat badan kepada 83kg dengan bersenam dan mengamalkan pemakanan seimbang sejak 2010.
SUKAR UNTUK KURUS
Mengakui tidak mudah untuk mengurangkan berat badan, suri rumah, Norlela Kamarudin, 30, memberitahu bahawa kegemukan yang dialaminya selepas melahirkan anak amat mengecewakan beliau.
Sangat tertekan dengan keadaan terutamanya apabila menghadapi kesukaran melakukan kerja harian dan bermasalah mendapatkan saiz pakaian yang sesuai, Norlela berusaha untuk mengurangkan berat badan.
“Saya juga risau jika timbul masalah kesihatan. Bayangkanlah, berat badan saya naik dari 60kg kepada 86kg sedangkan tinggi saya hanya 152cm.
“Bukan sahaja terpaksa beli pakaian baharu, susah pulak nak dapat saiz yang sesuai terutamanya bila memilih baju raya,” katanya kepada Bernama.
Setelah setahun mengamalkan pemakanan seimbang dan berzumba, Norlela yang kini mempunyai berat badan 57 kilogram mengakui memang sukar mencapai berat badan ideal kerana ia memerlukan masa yang lama namun bertekad, “jika ingin buat perubahan maka hendaklah bersungguh-sungguh”.
Ahmad Farhan dan Norlela bernasib baik kerana sedar akan masalah yang dihadapi dan mahu berusaha memperbaiki diri masing-masing sebelum terlambat.
KOMPLIKASI KESIHATAN
Namun, telah banyak laporan mengenai rakyat obes yang mempunyai berat badan melebihi 150kg di negara ini, yang menghadapi komplikasi kesihatan dan terpaksa mendapatkan bantuan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk ke hospital.
Dalam kebanyakan kes, lori terpaksa digunakan untuk membawa pesakit ke hospital berikutan kesukaran untuk memasuki ambulans.
Baru-baru ini, seorang lelaki berusia 33 tahun seberat 250kg di Sibu diselamatkan dalam satu operasi menggunakan alat pengangkat hidraulik untuk diangkut ke dalam lori bomba sebelum dibawa ke Hospital Sibu setelah tidak dapat berjalan dan sukar membuang air kecil selama tiga hari.
Selain itu, kes-kes lain termasuk pada Mac lalu seorang wanita seberat 250kg yang mengalami komplikasi asma dan sakit lutut dilaporkan dibawa dengan lori lima tan ke Hospital Sg Buloh, Selangor; seorang lelaki seberat 160kg penghidap kencing manis, darah tinggi dan jantung pula dibawa dengan lori tiga tan ke Hospital Miri; dan seorang lagi lelaki 300kg yang terjatuh di tandas rumahnya yang dibawa ke Hospital Pulau Pinang. Kes-kes tersebut, masing-masing terpaksa dibantu oleh kira-kira 10 anggota bomba.
Mengulas mengenai obesiti, pensyarah Kanan Jabatan Pemakanan dan Dietetik Fakulti Sains Kesihatan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam, Selangor, Dr Norazmir Md Nor berkata seseorang itu dapat mengatasi masalah obesiti dengan mengamalkan pemakanan seimbang dan sentiasa menjalani gaya hidup aktif.
“Seseorang itu mudah obes kerana tidak menjaga pemakanan dan makan berlebih-lebihan tanpa disusuli senaman.
“Sepatutnya, setiap daripada kita boleh menikmati makanan kegemaran tanpa rasa bersalah dan mampu mengambil langkah perlu jika merasakan berat badan melebihi BMI (Indeks Jisim Badan) yang ideal,” katanya kepada Bernama.
RUJUK PAKAR PEMAKANAN
Dr Norazmir menegaskan berdiet dengan cara menolak makanan yang tinggi karbohidrat dan protein bukanlah kaedah yang disyorkan.
Ini kerana, kata beliau sumber tenaga utama harus mengandungi karbohidrat, protein dan lemak seperti mana yang disyorkan dalam Panduan Pemakanan Malaysia.
Justeru, beliau menasihati individu yang ingin berdiet agar merujuk kepada pakar pemakanan, dietetian atau doktor bagi memastikan diet yang bakal diamalkan tidak memudaratkan kesihatan terutamanya bagi individu yang mempunyai komplikasi penyakit lain.
“Jangan terlalu drastik menurunkan berat badan, pengambilan ubat kurus juga amat berbahaya. Hendaklah sentiasa menitikberatkan pengambilan makanan berzat yang amat diperlukan tubuh badan manusia,” katanya.
Beliau seterusnya mengingatkan bahawa masalah obesiti berkait rapat dengan penyakit kardiovaskular.
“Mungkin ada kalangan masyarakat yang tidak sedar bahawa penyakit kardiovaskular seperti sakit jantung dan tekanan darah tinggi boleh membawa maut jika dibiarkan berlarutan tanpa dirawat.
“Perlu diingat, faktor genetik juga turut mempengaruhi masalah obesiti jadi perlulah sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat dalam pelbagai aspek,” katanya.
Kajian Morbiditi dan Kesihatan Kebangsaan mendapati separuh rakyat negara ini berlebihan berat badan atau obesiti. Jumlah rakyat obes juga didapati meningkat mendadak daripada 4.4 peratus pada 1996 kepada 14 peratus pada 2006, kemudian meningkat kepada 15.1 peratus pada 2011 dan terus meningkat 17.7 peratus kepada 2015. – BERNAMA