BUKIT MERTAJAM – Orang ramai berebut-rebut membeli minyak masak susulan spekulasi kenaikan harga barangan itu berikutan penghapusan subsidi menyebabkan ramai terkilan termasuk peniaga yang terpaksa mengehadkan jualan kepada pelanggan.
Peniaga runcit di pasar Kampung Baru yang enggan dikenali berkata, dia terpaksa mengehadkan jualan minyak masak kepada pelanggan baharu kerana stok sedia ada disimpan untuk pelanggan tetap.
“Ramai pelanggan baharu datang ke kedai untuk membeli minyak masak tetapi stok yang ada terhad dan pembekal pula beri amaran jumlah bekalan akan berkurangan bulan depan.
“Sejak 10 tahun saya menempah 20 kotak minyak masak dengan 340 paket seberat satu kilogram seunit setiap bulan tetapi pembekal memaklumkan jumlah itu akan kurang 20 peratus dan tiada lagi bekalan untuk minyak masak botol.
“Saya tak sorok minyak masak tetapi saya perlu pastikan ada bekalan mencukupi untuk pelanggan tetap terutama peniaga makanan di kawasan ini,” katanya sambil menambah setiap paket minyak masak dijual pada harga RM2.50 dan hanya memperoleh untung sebanyak lima peratus.
Pemeriksaan The Star di beberapa kedai runcit dan pasar minit menunjukkan minyak masak 1 kg masih ada di pasaran tetapi pembeliannya dihadkan.
Tinjauan di sebuah pasar mini di Alma mendapati rak yang menempatkan minyak masak botol antara 3kg dan 5kg kosong, manakala pengguna hanya dibenarkan membeli lima paket minyak masak 1kg.
Operator kantin kilang, Sajan Kassim, 38 berkata, jika sebelum ini dapat membeli sejumlah besar minyak masak di pasar mini berkenaan tetapi kini terpaksa ke beberapa premis lain untuk menambah bekalan.
“Kantin saya perlukan sekotak minyak masak atau 19 paket minyak masak satu kilogram sehari.
“Berita penghapusan subsidi menyebabkan berlaku pembelian panik. Saya harap kerajaan dapat menangguhkan keputusan itu kerana ekonomi negara belum stabil,” katanya.
Ahli perniagaan, M. Nagarajan, 37 yang akan menyambut Deepavali berkata, dia sekeluarga perlu mendapatkan bekalan minyak masak dari beberapa premis.
“Setiap tahun kami membuat banyak kek dan muruku untuk saudara mara, semuanya perlu menggunakan minyak masak,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Hindu Pulau Pinang (PHA), P.Murugiah menggesa keajaan untuk menangani masalah kekurangan minyak masak serta merta dengan meneruskan pemberian subsidi.
Sumber: mStar