JAKARTA - Polis pada Selasa menahan seorang lelaki yang dipercayai melakukan penayangan filem lucah di layar papan iklan elektronik di Jakarta Selatan pada Jumaat lepas.
Ketua Polis Daerah Metro Jaya Mochamad Iriawan berkata, lelaki itu adalah seorang pakar Teknologi Maklumat (IT) dan ditahan di kawasan Senopati petang Selasa.
Katanya, setelah menjalankan siasatan forensik beberapa unit komputer syarikat periklanan PT Transito Adiman Jati, polis dapat mengesan filem lucah itu diceroboh masuk dari luar pejabat.
Siaran-siaran berita televisyen memetik Mochamad Iriawan sebagai berkata lelaki itu adalah seorang yang pakar dalam IT kerana boleh menghubungkan telefon bimbitnya dengan layar papan iklan di luar.
Beliau berkata lelaki berumur 24 tahun itu mengaku melakukan perbuatan itu dan memberi alasan ia berlaku secara tidak sengaja.
"Tetapi polis yakin dia mempunyai motif lain kerana tayangan filem lucah itu disiarkan selama lebih 10 minit ini bukanlah tidak senjaga, kalau tidak sengaja hanya beberapa saat sahaja," kata beliau.
Katanya, lelaki itu kini ditahan untuk siasatan lanjut dan akan didakwa di bawah Pasal 282 Undang-Undang Hukum Pidana dan Pasal 27 Undang-undang Informasi Transaksi Elektronik yang membawa hukuman penjara tujuh tahun.
Pada kejadian Jumaat lepas, orang ramai terkejut apabila layar gergasi papan iklan elektronik di Kebayoran Lama, Jakarta Selatan menayangkan filem lucah selama lebih 10 minit.
Kejadian itu mengakibatkan berlaku kesesakan laulintas apabila para pengguna jalan raya berhenti kenderaan masing-masing untuk merakamkan kejadian.
Bagaimanapun tindakan pantas seorang penjaja soto di tepi jalan itu untuk memotong suis elektrik papan iklan berkenaan berjaya memadamkan tayangkan filem lucah itu. - BERNAMA