Pakatan Harapan Tanya, Apa Lagi Yang Melayu Mahu?


KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan hari ini mempersoalkan tentang apakah lagi yang bangsa Melayu mahukan di negara ini.

Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (PAN), Khalid Samad mengemukakan persoalan itu dipercayai akibat berang tidak ramai Melayu memberi sokongan kepada parti pembangkang muktakhir ini.

Katanya, bangsa Melayu mesti meninggalkan UMNO untuk memastikan DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (PAN) merampas pemerintahan negara ini.

Beliau turut menghasut kaum Melayu supaya meninggalkan UMNO dengan mendakwa Allah S.W.T telah menyediakan Pakatan Harapan untuk mereka.

“Kerajaan tidak akan berjaya ditukar tanpa berlakunya anjakan sokongan Melayu dari UMNO kepada pihak yang lain sedangkan Melayu tetap bersama UMNO dan Barisan Nasional (BN).

“Apa lagi Melayu mahu sebelum berani berubah? Apa alasan yang munasabah untuk Melayu terus ketakutan sedangkan keperluan untuk perubahan telah Allah sediakan,” dakwanya seperti dilaporkan sebuah portal berita hari ini.

Khalid dalam pada itu mendakwa kononnya kaum Melayu tidak perlu berasa khuatir jika Pakatan Harapan memerintah negara kerana ada pemimpin Melayu dalam Pakatan Harapan seperti Mohamad Sabu untuk mempertahankan kepentingan mereka.

Beliau turut menyenaraikan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Salahuddin Ayub, Azmin Ali, Dr. Siti Mariah, Nurul Izzah Anwar, Dr. Dzulkefly Ahmad, Dr. Mujahid Yusof Rawa dan Dr. Hatta Ramli kononnya akan mempertahankan hak kaum Melayu jika Pakatan Harapan memerintah Malaysia. – Kedahnews.com