PAN Kelantan Tak Hirau PAS Jika Terus Berdegil


ALOR SETAR - Parti Amanah Negara (PAN) Kelantan memutuskan untuk tidak menghiraukan PAS sekiranya parti itu terus enggan berunding bersama Pakatan Harapan bagi menghadapi Pilihan Raya ke-14 nanti.

Adun Salor, Datuk Husam Musa berkata, sekiranya PAS mahu bekerjasama dengan PAN dan gabungan Pakatan Harapan pada PRU ke-14 nanti, parti itu perlu bersetuju untuk mematuhi terma-terma tertentu jika rundingan diadakan.

"Jika ditakdirkan PAS tak bersama, kita harus berjalan tanpa menunggu lampu hijau atau ketentuan mereka. Ini ketetapan yang saya ambil di Kelantan.

"Sekiranya PAS ingin kembali ke dalam lingkungan pakatan, kita boleh terima. Tetapi dengan terma-terma tertentu," kata Husam dalam kenyataan di Majlis Makan Malam Pusat Khidmat Peduli Rakyat anjuran PAS Gopeng, di Hotel Seri Malaysia, Ipoh, semalam.

Husam (tengah) bersama sebahagian pimpinan Pakatan Harapan ketika ditemui, di sini, semalam.
Hadir sama di majlis berkenaan adalah Penasihat DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham, Pengerusi PKR Perak, Dr Muhammad Nur Manuty dan Timbalan Pengerusi PAN Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

Husam dalam kenyataannya turut memberikan contoh terma yang mungkin perlu dirunding dengan PAS sekiranya mahu bekerjasama dengan Pakatan Harapan.

"Misalnya, berkaitan  kemajuan, kebaikan selain melahirkan kerajaan yang bersih sepertimana yang dituntut Islam," jelasnya mengenai terma rundingan dengan parti Islam tersebut.

Namun begitu, sekiranya PAS masih enggan berunding bagi menjalin kerjasama dengan Pakatan Harapan, PAN tidak menolak dan bersedia untuk bertanding tiga penjuru menentang PAS pada PRU ke-14 nanti.

Dalam pada itu, beliau turut meluahkan kebimbangan terperangkap dalam pelbagai masalah seperti korupsi, kerosakan alam sekitar dan kegagalan urus tadbir, selain mencari rakan kerjasama yang benar-benar boleh dipercayai.

"Kita tak mahu terperangkap dengan keadaan dan suasana yang seperti itu. Kita juga kena fikir siapakah rakan kongsi yang boleh dipercayai sebelum, semasa dan selepas PRU14 nanti," katanya, memetik laporan Sinar Harian.

Husam sebelum ini dipecat dari PAS ekoran tindakannya yang disifatkan menjejas imej parti setelah menghamburkan pelbagai kritikan hebat terhadap kepimpinan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Kerajaan PAS Negeri Kelantan.

Adun Salor itu kemudian memutuskan untuk menyertai PAN setelah mengambil tempoh beberapa lama selepas insiden disingkirkan parti itu.

PAS baru-baru ini menegaskan bahawa mana-mana parti yang ingin bekerjasama dengan parti itu perlu memutuskan hubungan dengan DAP sebagai syarat utama kerjasama politik antara parti pembangkang menjelang PRU ke-14. -Kedahnews.com