PAN Sindir PAS Gagal Tadbir Kelantan

KUALA LUMPUR – Hampir setiap lot dusun dan tapak perumahan yang dibuka Lembaga Kemajuan Tanah Negeri (LKTN) Kelantan sejak sekian lama masih belum diberi hak milik kepada rakyat negeri itu.

Naib Pengerusi Parti Amanah Negara (PAN) Kelantan, Che Ibrahim Mohamed berkata, situasi itu menyebabkan Kelantan kerugian ratusan juta ringgit setahun.

“Ia melibatkan 27 tanah rancangan di seluruh negeri berkenaan dan membabitkan lebih daripada 10,000 peneroka, antaranya kawasan kemajuan tanah Mengkebang, Tujuh Puteri dan Jelawan.

“Saya difahamkan oleh pegawai Pejabat Jabatan Tanah dan Galian, sekiranya Kerajaan Negeri Kelantan berjaya menyelesaikan isu hak milik tanah ini, kerajaan negeri akan dapat memungut sekurang-kurangnya RM100 juta hasil tanah setahun,” katanya dalam satu wawancara bersama akhbar DAP, Roketkini baru-baru ini.

Beliau mengkritik kenyataan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang meminta supaya Kerajaan Pusat memberikan royalti minyak kepada negeri itu sebelum aktiviti pembalakan dapat dihentikan di Kelantan.

Isu pembalakan di Kelantan kembali menjadi perhatian apabila penempatan Orang Asli di Pos Gob di Gua Musang diganggu pembalak yang mendakwa memiliki lesen sah untuk melakukan kerja-kerja pembalakan.

Che Ibrahim berkata, sebahagian besar penduduk di Kuala Krai, Tanah Merah, Jeli dan Gua Musang tidak diberi hak milik tanah atau geran meskipun telah menduduki kawasan itu berpuluh-puluh tahun.

“Itu royalti minyak sebahagian sahaja, sebelum kita mendapat hasil daripada royalti, kita selesai dulu pasal masalah sekarang,” katanya. –Kedahnews.com