PAS Kedah Tegaskan Tiada Hubungan Politik Dengan DAP, PAN dan BN


ALOR SETAR - PAS Kedah menegaskan bahawa pihak mereka tidak mempunyai sebarang hubungan politik dengan DAP, Parti Amanah Negara (PAN) dan Barisan Nasional (BN) di negeri ini.

Pesuruhjayanya, Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi berkata, walau bagaimanapun PAS Kedah masih membuka ruang bagi mana-mana parti politik di negara ini yang berminat untuk bekerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nanti.

Beliau menjelaskan bahawa PAS Kedah serius dan komited memantapkan lagi blok Gagasan Sejahtera di negeri tersebut sebagai persedian bagi menghadapi PRU ke-14 yang dikatakan makin hampir.

"PAS tidak ada hubungan politik dengan DAP, Amanah dan BN, tetapi membuka ruang kepada mana-mana parti politik untuk berbincang.

"PAS berpendirian tegas memperkukuhkan blok Gagasan Sejahtera dalam menghadapi PRU14," jelas beliau ketika dihubungi Kedahnews.com, di sini, hari ini.

Dr Ahmad Fakhruddin mengulas mengenai kenyataan Adun Salor, Datuk Husam Musa yang sebelum ini menggesa PAS supaya tidak berdegil dan hadir berbincang dengan Pakatan Harapan, termasuk DAP, bagi persediaan PRU ke-14 nanti.

Bagaimanapun kata Husam, sekiranya PAS enggan bersetuju dengan terma-terma perbincangan dan menolak untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan, PAN tidak teragak-agak untuk bertanding tiga penjuru menentang bekas partinya itu.

Sementara itu, Dr Ahmad Fakhruddin menyatakan bahawa pihaknya sedang berada dalam proses bersiap siaga menyediakan jentera pilihan raya di semua peringkat dan bakal bertanding di kerusi-kerusi tradisi yang ditandingi sebelum ini.

"PAS Kedah telah mempersiapkan jentera pilihanraya semua peringkat dan sedia bertanding dikerusi PAS yang dipertandingkan pada PRU13," jelasnya lagi.

Beliau turut berpesan kepada rakyat Kedah supaya mengamalkan politik matang dengan bersandarkan ajaran Islam mengikut lunas-lunas amalan demokrasi yang dipraktikkan di negara ini.

"Pendekatan PAS jelas mengajak rakyat berpolitik secara matang dan sejahtera mengikut ruang demokrasi berpaksikan Islam," katanya. -Kedahnews.com