PAS Sambut Baik Kerajaan Beri Anugerah Khas Maal Hijrah Buat Haron Din


KUALA LUMPUR – PAS menyambut baik penganugerahan khas Maal Hijrah sempena Sambutan Maal Hijrah Tahun 1438 oleh Kerajaan Persekutuan kepada Allahyarham Datuk Dr. Haron Din baru-baru ini.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasrudin Hassan berkata, penganugerahan itu satu pengiktirafan kepada jasa besar bekas Mursyidul Am PAS itu dalam bidang ekonomi Islam, pendidikan, perubatan Islam, dakwah dan jihad fi Sabilillah.

“Sesungguhnya ia satu pemilihan yang tepat, penghargaan yang wajar dan pengiktirafan yang selayaknya terhadap perjuangan dan kepimpinan Al Marhum,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Nasrudin berkata, perjuangan dan kesungguhan Haron Din dalam memartabat syariah di tanah air seharusnya menjadi ikutan dan panduan oleh seluruh masyarakat Islam.

“Benarlah, bukan kita yang memulakan dan mengakhiri perjuangan ini, bahkan kita hanya penyambung mata rantai perjuangan,” katanya.

Haron Din yang juga Murysidul Am PAS meninggal dunia akibat mengalami masalah jantung ketika menerima rawatan di luar negara.

Kematian beliau bagaimanapun dipersendakan oleh pemimpin dan penyokong Pakatan Harapan dengan pelbagai kenyataan biadap.

Kebiadapan itu termasuk seorang pemimpin DAP mengucapkan perkataan “Adios” diatas kematian Haron Din di media sosial. –Kedahnews.com