PAS Temui Tengku Adnan Mohon Sokong Pindaan RUU Akta 355


KUALA LUMPUR – PAS Putrajaya menemui Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor semalam bagi memohon beliau supaya menyokong usaha parti itu meminda Akta 355 bagi memperkasakan fungsi Mahkamah Syariah di negara ini.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Kamaruzaman Mohamed yang mengetuai rombongan itu berkata, PAS Putrajaya memohon sokongan Tengku Adnan selaku Ahli Parlimen Putrajaya.

“Kami memohon Tengku Adnan memberi sokongan penuh terhadap rang undang-undang untuk meminda Akta 355 yang telah dibentangkan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang selaku Ahli Parlimen Marang.

“Sokongan Datuk Seri (Tengku Adnan) terhadap rang undang-undang ini pasti akan menjadikan Putrajaya sebagai sebuah Parlimen yang sentiasa di bawah rahmat dan perlindungan Allah S.W.T,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Kamaruzaman berkata, PAS sangat mengharapkan sokongan Ahli Parlimen beragama Islam untuk menyokong usaha parti tersebut bagi meletakkan perundangan syariah pada kedudukan lebih baik seterusnya dihormati oleh seluruh masyarakat.

Usaha PAS untuk meminda akta itu mendapat tentangan hebat ramai Ahli Parlimen Pakatan Harapan yang menyifatkan langkah tersebut sebagai taktik PAS mahu melaksanakan undang-undang hudud di negara ini.

Seorang pemimpin Melayu DAP pernah mendakwa pelaksanaan hukum hudud di negara ini akan mengundang bias ke atas golongan wanita. –Kedahnews.com