Pelajar Antara 3 Ditahan Bermain Judi Di Kota Tinggi


JOHOR BAHRU – Dua lelaki, seorang daripadanya pelajar, ditahan ketika leka berjudi sewaktu serbuan Op Dadu di sebuah kontena di Sungai Rengit, Kota Tinggi, malam semalam.

Selain kedua-dua suspek berusia 14 dan 39 tahun itu, polis turut menahan seorang lagi lelaki berusia 19 tahun yang bertindak sebagai penganjur perjudian.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supt Rahmat Othman menerusi kenyataan di sini hari ini berkata, dalam serbuan kira-kira pukul 10.30 malam itu polis turut merampas wang tunai RM7,000, pelbagai peralatan komputer, dua telefon pintar dan barangan lain yang digunakan untuk kegiatan judi tersebut.

Rahmat berkata kegiatan tersebut dipercayai telah beroperasi sejak dua bulan lalu dan kesemua suspek kini ditahan reman selama empat hari hingga Selasa ini bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang membawa hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali kepada penganjur, jika sabit kesalahan.

Kaki judi pula boleh didakwa mengikut Seksyen 7(2) akta sama yang memperuntukan hukuman penjara sehingga enam bulan dan denda tidak lebih RM5,000 jika sabit kesalahan. – BERNAMA