Muhammad Hisyamuddin |
GURUN - Seorang pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kejuruteraan di Nibong Tebal, Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang, dikhuatiri hilang selepas gagal dihubungi sejak 28 September lalu.
Pelajar semester kelima Kejuruteraan Mekanikal, Muhammad Hisyamuddin Rosli, 21, disyaki hilang kira-kira jam 9 malam setelah dipercayai keluar untuk mengisi petrol motosikal dan mahu membeli barangan di luar kampus.
Bapa mangsa, Rosli Idris, 50, dari Batu 16 Tengah Padang Lumat, di sini, berkata, dia mengetahui mengenai kehilangan anak kedua daripada empat beradik itu setelah dimaklumkan oleh anak sulungnya menerusi panggilan telefon.
“Saya difahamkan sebelum kejadian, Muhammad Hisyamuddin keluar dari kampus menaiki motosikal Lagenda 115 ZR, nombor pendaftaran 7210 berwarna biru. Pakaian terakhirnya, baju sejuk berwarna biru gelap, t-shirt berwarna oren dan seluar berwarna hitam. Kali terakhir dilihat oleh rakannya di Shell Pekan Nibong Tebal.
“Rakan sebilik anak memaklumkan Muhammad Hisyamuddin keluar untuk mengisi minyak motosikal dan mahu membeli barangan keperluan. Namun sehingga hari ini, anak saya belum pulang dan tidak ada khabar mengenai dirinya,” katanya ketika dihubungi kelmarin.
Rosli yang juga guru Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Raya Dalam, Pendang, berkata, susulan kejadian itu, dia membuat laporan di Balai Polis Nibong Tebal pada 30 September lalu.
“Namun setakat ini, tiada maklumat mengenai anak saya. Saya amat bimbangkan keselamatan anak saya,” katanya.
Menurutnya, anaknya seorang pendiam sebelum ini dan tidak pernah mengadu berhubung dengan apa-apa masalah.
"Selalunya, dia akan pulang ke rumah setiap kali cuti dan sentiasa menghubungi keluarga. Saya juga bertanya dengan rakan sebilik anak sama ada dia mempunyai masalah atau tak tetapi mereka kata tak ada.
"Mereka juga beritahu anak saya tak bawa telefon bimbit bersama dan ditinggalkan di bilik," katanya.
Tambahnya, dia berharap orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai anaknya dapat menghubungi di talian 013-4355309.
Kisah kehilangan pelajar itu mula dihebahkan melalui media sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp sejak mangsa disyaki hilang dari kampus.
Sumber: Sinar Harian