Pembinaan Benteng Tebing Sg Golok Cegah Banjir Mula 2017


PASIR MAS – Pembinaan benteng mencegah banjir di sepanjang 120 kilometer tebing Sungai Golok akan bermula tahun hadapan.

Ketua UMNO Bahagian Rantau Panjang, Senator Datuk Abdullah Mat Yassin, berkata kerajaan persekutuan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM300 juta bagi fasa pertama daripada tiga fasa pembinaan benteng itu di tebing sungai berkenaan.

“Pembinaan benteng mencegah banjir itu adalah antara usaha kerajaan persekutuan membantu rakyat negeri ini mengatasi masalah banjir setiap kali musim tengkujuh,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Hari Pengurangan Risiko Bencana anjuran Universiti Teknologi Malaysia di sini semalam.

Abdullah berkata penduduk yang tinggal di sepanjang Sungai Golok menghadapi banjir setiap tahun dan menanggung kerugian besar.- BERNAMA