"Kegilaan" peminat terhadap penyanyi Anuar Zain sememangnya tidak dapat disangkal sejak awal kemunculannya dalam industri hiburan di negara kita, khususnya golongan wanita.
Sebagai seorang artis yang diminati golongan wanita daripada pelbagai peringkat umur, ada juga menyimpan impian untuk berkahwin dengan penyanyi berusia 46 tahun itu.
Baru-baru ini di laman sosial tersebar status seorang wanita yang dikenali sebagai Farhana Aziz mendakwa penyanyi lagu Keabadian Cinta itu adalah suaminya pada kelahiran lepas.
“Aku dah tahu dan faham kenapa aku begitu tertarik dan meminati Anuar Zain. Rupanya dia suami aku pada kelahiranku yang lepas. Subhanallah. Allahu Akbar,” katanya dalam posting Facebook yang bertarikh 6 Febuari lalu.
Walaupun status itu dibuat beberapa bulan lepas, namun ia mula trending di Twitter petang semalam.
Lebih mengejutkan apabila peminat yang daripada pemerhatian kami adalah seorang beragama Islam mempercayai adanya kelahiran semula.
“Rupanya memang benar wujud kelahiran semula seperti tercatat dalam Kitab suci Veda dan Kitab suci agama Buddha,” katanya.
Status Farhana itu mendapat kritikan daripada netizen dan mempersoalkan sama ada kenyataan itu adalah miliknya atau ditulis oleh orang lain menerusi akaun Facebooknya.
Bagaimanapun, Farhana mengakui status berkenaan ditulis olehnya dan bercakap benar dengan kenyataan itu.
“Saya tak kena hack la, Saya ckp benar la,” katanya.
Netizen yang dikenali sebagai Muhammad Azrul memuat naik komen yang menyangkal kenyataan Farhana.
“Kita tak ada nya wujud hidup semula. Kitab hanya memberitahu “manusia bila selepas mati ingin hidup semula kerana ingin tebus semula dosanya” dunia sebenar hanya akhirat kelak,” tulisnya di ruangan komen.
Pemerhatian Mynewshub mendapati wanita yang berasal dari Kuala Lumpur dan merupakan graduan dari Universiti Utara Malaysia (UUM) ini sering memuat naik cerita atau berita berkaitan Anuar Zain serta status yang boleh dikategorikan sebagai ‘syok sendiri’.
Ini antara postingnya. “Aku hanya setia pada Anuar Zain saja sebab dia seorang saja yg tak reject aku dan waktu aku pura2 selekeh dan berwajah hodoh pun dia masih nakkan aku. Tak payahlah nak mengorat aku wahai mana2 lelaki sekalipun. Semua pandang darjat dan harta aku je kan. Aku PALING benci lelaki yg pandang darjat dan harta aku,” katanya.
Perkongsian wanita ini dianggap sebagai ekstrem kerana terlalu obses dengan artis sehingga terlupa dengan ajaran Islam yang sebenarnya.-Kedahnews.com