Penanaman Padi Bakal Guna Teknologi Penyelidikan UPM


BESUT – Petani yang terlibat dalam Projek Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Terengganu Utara (Ketara) bakal mengguna pakai teknologi penyelidikan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Menteri Pendidikan Tinggi merangkap Anggota Parlimen Besut, Datuk Seri Idris Jusoh berkata teknologi berkenaan mampu meningkatkan hasil tuaian daripada 5.7 tan metrik sehektar kepada 10 tan metrik sehektar.

Katanya ketika ini kebanyakan penanam padi yang membabitkan sejumlah 2,000 orang di IADA Ketara masih menggunakan cara lama yang hanya mampu menghasilkan pengeluaran padi daripada 4.8 tan metrik kepada 5.7 tan metrik sehektar sahaja.

“Teknologi yang dihasilkan oleh UPM dalam penghasilan baja, cara pemusnahan bakteria, penggalak tumbesaran, pengawalan musuh tanaman dan teknologi lain dijangka akan membantu petani meningkatkan hasil pengeluaran mereka”, kata Idris kepada media selepas melancarkan Teknologi Padi UPM di sini semalam.

Katanya, bagi menghasilkan pelbagai bentuk penyelidikan, kementerian telah memperuntukkan RM100 juta setahun kepada Institut Pengajian Tinggi supaya turut sama membantu keperluan rakyat.

Sementara itu Timbalan Naib Canselor UPM Professor Datuk Dr Azmi Mohd Lila memberitahu sebelum ini pihaknya telah melaksanakan innovasi dan teknologi terhadap industri padi di beberapa tempat membabitkan 48 hektar kawasan termasuk di IADA Ketara, Besut.

Katanya, UPM menerajui inisiatif Geran Penyelidikan Jangka Panjang (LRGS) bagi bidang keutamaan Sekuriti Makanan yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi sejak tahun 2011.

“UPM telah diperuntukkan geran RM10 juta bagi meningkatkan penghasilan produk dan hasil padi yang secara langsung mampu menambah pendapatan pesawah melalui penyelidikan yang dihasilkan ini”, katanya.

Ianya dilakukan menerusi pembiakbakaan tanaman padi, penggunaan teknologi hijau dan mampan serta mewujudkan pakar sistem tanaman berasaskan penggunaan IT.

Azmi berkata sebelum ini UPM juga menjalinkan kerjasama penyelidikan dalam tanaman padi di peringkat antarabangsa bersama IAEA (Agensi Tenaga Atom Antarabangsa ) yang beribu pejabat di Vienna, Austria. – BERNAMA