Sebahagian peneroka yang mahu Felda melakukan kerja penyulaman semula selepas tanah mereka terbiar dan pokok getah mati. |
BUKIT KAYU HITAM - Beberapa peneroka di tanah rancangan Felda Bukit Tangga, di sini, melahirkan rasa kecewa berikutan proses penyulaman semula masih gagal dilaksanakan pihak berkenaan.
Peneroka mendakwa kontraktor dilantik Felda tidak menjalankan proses menyulam anak pokok dengan sempurna dan ini menjejaskan pendapatan mereka pada masa hadapan.
Proses penanaman dilakukan kira-kira hujung 2012 itu sepatutnya sudah siap, namun sehingga sekarang terdapat tanah tidak diisi dengan anak getah, walaupun masalah itu pernah diketengahkan peneroka sebelum ini.
Peneroka, Hashim Harun, 70, berkata, dia kecewa kerana tanah seluas hampir empat hektar yang sebelum ini ditanam dengan 1,800 anak getah, kini ditanam 1,000 sahaja.
Katanya, kegagalan pihak berkenaan menanam anak getah menyebabkan kawasan ladang getahnya seperti padang bola.
“Apa yang berlaku sekarang ini, banyak ruang kosong ditinggalkan pihak kontraktor yang bertanggungjawab. Keadaan ini merugikan kami sebagai peneroka, sedangkan guna tanah perlu dilakukan secara maksimum seperti tanaman getah sebelum ini.
“Buat masa sekarang, getah ditanam awal dulu sudah berusia kira-kira empat tahun. Bagaimanapun, masih banyak ruang tidak ditanam dan jika ditanam sekarang pun, ia akan ketinggalan dengan peringkat awal.
"Keadaan seperti ini akan menjejaskan pendapatan kami, apatah lagi dengan harga yang masih tidak stabil sehingga hari ini,” katanya.
Sumber: Sinar Harian