Penganggur Tetak Ibu Sampai Mati Diheret Ke Mahkamah


KUALA LUMPUR – Seorang penganggur yang sebelum ini dilapor menetak ibunya sehingga mati didakwa di Mahkamah Majistret Ampang semalam.

Rahmat Shahir Rashdan Shakir, 23, dituduh membunuh ibu kandungnya Halimaton Katan, 49, di sebuah kondominium beralamat 2B-01-08, Blok B, Menara Jade, Bukit Indah, Ampang antara 3 hingga 4 pagi pada 4 Oktober lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh kerana kes itu merupakan bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Zuhaini Mahamad Amin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 7 Disember untuk sebutan semula kes. – BERNAMA