Pengarah Dan Timbalan Digantung Kerja


KOTA KINABALU – Pengarah dan timbalan pengarah sebuah agensi kerajaan negeri Sabah, dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes salah guna kuasa dalam agihan projek bernilai RM3.3 bilion, telah digantung tugas.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Sukarti Wakiman berkata notis penggantungan terhadap kedua-dua pegawai kanan itu dikeluarkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Sabah.

“Penggantungan pengarah dan timbalan pengarah berkuat kuasa pada tarikh tangkapan, masing-masing pada 5 dan 4 Oktober,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Menurut notis penggantungan, katanya, kedua-dua suspek itu dilarang memasuki pejabat di mana mereka bertugas sebelum ini atau mana-mana pejabat jabatan itu di Sabah.

“Suspek juga dilarang meninggalkan negeri itu sepanjang tempoh siasatan,” katanya.

Semalam, pengarah tersebut dibebaskan dengan jaminan RM500,000 tanpa deposit dengan dua penjamin manakala timbalannya dibebaskan hari ini dengan syarat jaminan yang sama. – BERNAMA