Pengerusi DAP Johor Nafi Sertai Kempen BERSIH


KUALA LUMPUR – Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong tidak mengaku menyertai kempen BERSIH di Dataran Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT), Johor Bahru, Johor baru-baru ini.

Chin Tong yang juga Ahli Parlimen Kluang mendakwa, beliau tidak pernah menghadiri acara berkenaan, maka meminta pihak polis supaya tidak melibatkan beliau dalam hal tersebut.

“Saya menerima panggilan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Selatan mahu mengambil keterangan saya kerana saya didakwa berada di acara Bersih 5 di Dataran MPJBT.

“Saya beritahu pegawai polis saya jika mahu bertemu dengan saya, dia perlu datang ke Parlimen hari ini. Saya juga meminta dia beritahu pihak atasannya saya tidak pernah hadir dalam acara itu. Polis boleh membuat pengesahan daripada video cawangan khas (SB),” dakwanya dalam satu kenyataan media semalam.

Justeru, Chin Tong berkata, tiada sebab untuk pihak polis membuang masa untuk menyiasat laporan polis ke atasnya pada 1 Oktober lalu. –Kedahnews.com