Pengerusi Pusat Kajian Dasar Awam Tempelak Bajet Pembangkang


ALOR SETAR - Pengerusi Pusat Kajian Dasar Awam di Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI), Tan Sri Ramon Navaratnam menempelak Bajet Alternatif 2017 yang "dibentang" Pakatan Harapan bagi memenangi hati dan meraih sokongan politik rakyat.

Kata beliau, pakatan pembangkang itu hanya mementingkan populariti dan terlalu berpolitik, sebaliknya gagal mempamerkan sikap yang lebih profesional, ekonomik dan praktikal berdasarkan realiti pentadbiran bagi sesebuah kerajaan.

"Mereka (Pakatan Harapan) harus melihat secara objektif. Janganlah populis atau bersifat politik. Lihatlah dari mata profesional, ekonomi dan praktikal," tegasnya yang dipetik dari laporan portal pro-pembangkang, Malaysiakini.com

Ramon turut membidas pendirian Pakatan Harapan mengenai Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) supaya tidak mengganggu gugat sistem bercukaian yang dilihat lebih berkesan berbanding sistem lama, SST.

"Kekalkan GST bukan mengganggunya. GST memberikan kita lebih banyak pendapatan. Jangan kembali kepada sistem lama," tegasnya lagi.

Sebelum itu, Bajet Alternatif pembangkang disifatkan cuba "mengula-gulakan" rakyat dengan cadangan "kadar sifar" bagi GST, sebaliknya mendakwa mereka akan mempertimbangkan untuk kembali kepada "pra-GST" dalam sistem percukaian negara.

Ramon dalam kenyataannya turut bersetuju dengan pendekatan kerajaan sekarang bahawa produk dan perkhidmatan asas perlu dikecualikan atau berkadar sifar untuk membantu golongan miskin atau B40 (bawah 40 peratus).

Namun Pengerusi Pusat Kajian Dasar Awam itu menegaskan bahawa golongan berpendapatan sederhana dan tinggi tidak boleh dikecualikan daripada GST.

Selain itu, beliau juga mencadangkan satu sistem cukai GST yang inovatif, di mana beberapa barangan dan perkhidmatan dikenakan dua peratus atau tiga peratus, manakala yang lain dikekalkan pada kadar enam peratus seperti biasa. - Kedahnews.com