Pengorbanan Dhabitah Dipandang Tinggi Pandalela

RATU terjun negara, Pandelela Rinong Pamg menyatakan sokongannya kepada Nur Dhabitah Sabri apabila banyak meninggalkan sesi persekolahan bagi menjalani latihan.

Dhabitah yang bakal mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bulan depan disifatkan sebagai ‘lebih bagus’ persembahannya dalam sukan renang itu.

Pandelela mengakui pengorbanan yang dilakukan pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil itu tidak sia-sia apabila beraksi cemerlang walaupun tanpa kilauan pingat.

“Saya cakap dengan dia. Pelajaran dan sukan sama-sama penting tetapi sukan tak boleh tunggu. Kalau kita dah lepas sesuatu had umur, kita memang akan ketinggalan.

“Semua orang boleh belajar tetapi tak semua orang boleh bertanding Olimpik. Jadi gunakanlah peluang itu sebaik-baiknya. Pertengahan tahun ini dia ikut latihan ke China dan banyak pelajarannya ketinggalan.

“Sebab itu lepas Olimpik, mak dan ayahnya kata pertandingan paling besar sudah berakhir dan boleh fokus pada SPM,” katanya yang dipetik dari Malay Mail Online.

Kejayaan Pandelela, 23, memenangi pingat perak di Olimpik Rio ini terus menyuntik semangat kemenangannya kepada teman seperjuangan dan menganggap Dhabitah mampu berjaya meraih pingat sekiranya diberi peluang.

Menurutnya, walaupun Dhabitah tidak memenangi sebarang pingat di Olimpik, tetapi dia mempunyai bakat dan masih baru dalam sukan ini.

Beliau mengakui Dhabitah lebih menyerlah dari segi fizikal dan tidak pernah malu untuk bertanya bagi memajukan diri.

Pada sukan Olimpik Rio yang lalu, Dhabitah berjaya menamatkan saingan acara 10 metre platform individu di tempat kesembilan, mengatasi Pandelela yang menduduki tangga ke-11.

Manakala, acara tiga metre papan anjal seirama wanita menyaksikan Dhabitah dan rakan gandingannya, Cheong Jun Hoong sekadar mendapat tempat kelima dengan 293.40 mata. -Kedahnews.com