Peranan Masyarakat Tangani Gangguan Mental


KUALA LUMPUR – Akhir-akhir ini laporan berita tentang kejadian amuk, mencederakan diri sendiri, mengancam untuk membunuh diri adalah antara kisah yang sering kita dengar dan lazimnya melibatkan individu yang mengalami kemurungan atau gangguan mental.

Peningkatan kes beberapa peristiwa ngeri kejadian bunuh, mencederakan anggota keluarga dan penderaan kanak-kanak serta keganasan rumah tangga melibatkan mereka yang mempunyai rekod gangguan mental adalah satu isyarat bahawa penyakit gangguan mental adalah satu masalah serius yang mesti ditangani bersama.

Pada 28 September, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr. S. Subramaniam dilaporkan sebagai berkata bahawa Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015 mendapati satu dalam tiga rakyat Malaysia mengalami isu berkaitan masalah mental.

Kajian sama menunjukkan bahawa prevalen masalah kesihatan mental didapati paling tinggi dalam kalangan mereka yang berumur 16 hingga 19 tahun dan berpendapatan rendah.

Data daripada National Suicide Registry Malaysia pada tahun lalu mencatatkan 29.2 peratus daripada rakyat Malaysia mengalami masalah kesihatan mental, menunjukkan peningkatan berbanding 11.2 peratus pada 2006.

Apakah antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan masalah kesihatan mental ini?

RAWATAN PEMULIHAN AWAL

Pakar Perunding Psikiatri, Jabatan Perubatan Psikologi Universiti Malaya, Prof Madya Dr. Muhammad Muhsin Ahmad Zahari menjelaskan pelbagai konflik kehidupan, antaranya seperti penceraian, kewangan, krisis rumah tangga, penyalahgunaan dadah dan tekanan kerja boleh menyebabkan seseorang menghadapi tekanan sehingga menyebabkan kemurungan, yang jika dibiarkan boleh mengakibatkan gangguan mental.

Beliau berkata masalah mental seseorang itu boleh menjadi semakin serius jika tidak mendapat rawatan sewajarnya dan berkemungkinan mengancam keselamatan masyarakat.

“Ada kalanya, pesakit mental boleh bertindak di luar kawalan dengan mencederakan diri sendiri atau orang lain tetapi jika dikesan lebih awal mereka boleh menjalani rawatan pemulihan di hospital.

“Pesakit mental tidak boleh dirawat secara alternatif sebaliknya harus mendapatkan rawatan daripada pakar psikiatri, doktor atau kaunselor di hospital,” tegas beliau.

Selain itu, beliau berkata pandangan serong dan layanan negatif masyarakat terhadap pesakit mental menyebabkan mereka semakin tertekan.

Lebih memburukkan keadaan akibat tertekan dengan persepsi, stigma dan keadaan persekitaran, ada kalangan keluarga yang sanggup mengurung individu yang mengalami gangguan mental dan membiarkannya tanpa mendapatkan rawatan di hospital.

Tegas beliau, masyarakat perlu bersikap lebih terbuka dan tidak memandang ringan terhadap isu kesihatan mental kerana ia boleh menjejaskan fungsi sosial negara.

“Perlu diingat, gangguan mental boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengira faktor usia, jantina atau latar belakang keluarga. Individu yang mengalami masalah mental harus diberikan rawatan segera untuk mengelakkan kejadian tidak diingini,” katanya kepada Bernama.

Bagi membantu meringankan cabaran yang dihadapi pesakit mental, Dr. Muhammad Muhsin berkata masyarakat hendaklah mengelakkan daripada terlalu mudah melontarkan kata-kata negatif dan melabel pesakit dengan panggilan negatif umpamanya ‘orang gila’.

“Ia hanya akan membuatkan individu terbabit lebih tertekan dan menjejaskan nilai moralnya.

“Malah, pesakit mental juga sering disisih oleh masyarakat. Situasi itu tidak akan membantu memulihkan semangat dan keyakinan malah menyebabkannya rasa lebih terpinggir, sekali gus melambatkan proses rawatan,” kata beliau.

FAHAMI PERANAN KAUNSELOR

Sementara itu, pensyarah Psikologi dan Kaunseling Universiti Terbuka Malaysia (OUM), Dr. R. Nambiar berkata peranan kaunselor amat penting bagi membantu menangani masalah berkaitan mental.

Namun, kata beliau tidak ramai yang mendapatkan perkhidmatan kaunselor kerana budaya rakyat negara ini tidak gemar berkongsi masalah dengan orang lain, menyebabkan individu bermasalah akan mengalami gangguan mental akibat terlalu memendam emosi dan perasaan.

“Jangan melihat peranan kaunselor sebagai orang ketiga dalam sesuatu masalah atau menganggap kaunselor sebagai individu yang suka ‘menjaga tepi kain orang lain’.

“Tugas kaunselor adalah untuk memberi khidmat bantuan kepada mereka yang bermasalah,” katanya.

Beliau menegaskan masyarakat harus faham dan sedar bahawa tugas kaunselor adalah untuk mendengar keluhan serta masalah yang dihadapi agar dapat dirungkai dan diselesaikan.

TIDAK PERLU TAKUT

Nambiar berkata walaupun kerajaan berusaha memperkasakan tahap kesihatan mental rakyat, masih terdapat segelintir masyarakat yang tidak sedar akan kemudahan-kemudahan yang disediakan kerajaan.

“Orang ramai tidak perlu takut untuk mendapatkan bantuan dan rawatan khususnya melibatkan pesakit mental.

“Tidak dinafikan, masyarakat sering bersikap prejudis terhadap mereka yang ingin mendapatkan rawatan. Buka hati dan minda kerana masalah mental adalah sejenis penyakit yang perlu dirawat dengan terperinci,” tegas beliau.

Nambiar turut menasihatkan agar orang ramai mengamalkan gaya hidup sihat dengan melakukan aktiviti riadah supaya dapat mengurangkan tekanan hidup dan membantu mengelakkan diri daripada mengalami masalah mental.

Katanya individu yang sentiasa berfikiran positif dan mempunyai hubungan baik sesama anggota keluarga, rakan, jiran tetangga dan masyarakat dapat mengurangkan tekanan kehidupan. – BERNAMA