HIJRAH Rasulullah SAW terkandung maksud yang besar. Suasana getir yang dihadapi di Mekah dalam menyampaikan risalah dakwah menemukan Rasulullah SAW meraikan perintah Allah SWT untuk berhijrah.
Salah satu hikmah penghijrahan adalah wujudnya hubungan persaudaraan Muhajirin dan Ansar yang menyebabkan kekuatan Islam mula terserlah. Dalam Surah an Nisa’: 110 Allah menyebutkan;
“Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam) nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur.”
Konsep berhijrah pada jalan Allah itu sifatnya luas. Menghijrahkan diri, jamaah, cita-cita perjuangan ke jalan yang diredai Allah amat dituntut. Terdapat individu yang memperjuangkan sesuatu atas nama perubahan tetapi terkandung muslihat yang bersifat peribadi.
Wujud juga jamaah yang melakukan hijrah tetapi berlegar sekitar batas yang sempit dan tidak merintis jalan ke arah wehdah (kesatuan) yang lebih menyeluruh. Natijahnya, rasa persaudaraan tidak terbina tetapi yang terjelma adalah taksub jamaah yang berlebihan.
Hijrah kerana Allah terkandung sifat ikhlas yang tinggi, sifat saling menyantuni yang telus dan tulus kerana yang paling utama hendak dicetuskan adalah rasa ukhuwah Islami yang mampu merintis jalan mahabbah sesama warga umat.
Apa yang sedang terjadi adalah taksub jamaah semakin teguh dan kukuh dan payah untuk berlak sifat menyumbang kepada perubahan umat sebaliknya pendirian yang ada adalah aku adalah satu-satunya jamaah yang sifatnya mewakili dan patut dicontohi.
Allah tidak mengurniakan seseorang tokoh dan jamaah dengan segala upaya hingga menyebabkan tokoh itu merasakan dialah satu-satunya tokoh yang mesti diikuti jalan strateginya.
Jiwa jamaah mendidik warga umat supaya memiliki sifat kebersamaan yang tinggi dalam membuat keputusan dan melaksanakan agenda perjuangan tanpa memecahbelahkan umat itu sendiri.
Apa lagi jamaah politik yang berjuang untuk Islam amat memerlukan jiwa jama’i yang tinggi dan sifat menyantuni yang ramah. Dengan pedoman dustur (etika) dakwah dan tarbiah seperti yang terungkap dalam Surah an Nahli :125, kepentingan bijaksana, contoh teladan dan hujah yang berkesan menjadi fokus untuk menentukan hijrah terjadi dan perubahan berlaku.
Apa yang sedang berlaku di Syria, Iraq, Bahrain, Libya, Tunisia dan lain-lain negara Islam, disebabkan pimpinan rejim yang hilang rasa kemanusiaan, konflik kelompok yang tidak berkesudahan dan fahaman jamaah yang saling bercanggah menyebabkan umat Islam menjadi mangsa dan imej Islam berada di tahap yang paling rendah.
Justeru fokus utama dan terkini dalam kalangan individu dan kelompok umat adalah bukan memecahbelahkan umat untuk melaksanakan dendam dan geram demi kepentingan diri dan muslihat peribadi kerana ini bukan jalan hijrah dan perubahan yang dinanti-nantikan.
Hijrah dan perubahan yang ditunggu-tunggu ialah terdapat jiwa besar dalam kalangan individu, jamaah dan jamaah politik yang mahu merapatkan saf perjuangan kerana pecah-belah dalam kalangan mereka menyebabkan musuh-musuh Islam mengambil kesempatan.
Memang hijrah untuk menyatukan ummah yang berpecah tidaklah mudah. Tetapi kalau maksud hijrah dan perubahan ke arah kebaikan tetap menjadi sesuatu yang utama, hal-hal remeh temeh akan diketepi, kesatuan ummah menjadi matlamat dan perjuangan Islam berada dalam kedudukan yang teguh dan kukuh.
Selalunya, orang lupa untuk mencerminkan diri sendiri, jamaah yang didukung dan jamaah politik yang dijadikan landasan perjuangan bahawa maslahah umat iaitu kesatuan umat jauh lebih utama kerana ini diperintahkan oleh Allah SWT.
Malang sekali pedoman itu diabaikan, sambutan Maal Hijrah berlaku setiap tahun, pengkajian terhadap seerah Nabawiyyah terjadi tetapi ibrah (pengajaran) daripadanya terabai. Akhirnya perjuangan yang terjadi tidak lebih dari ungkapan pepatah “menang sorak kampung tergadai”.
Amat penting peristiwa hijrah yang dialami oleh Rasulullah SAW dengan segala kepayahan dijadikan iktibar setiap daripada kita bahawa banyak cabaran sedang menunggu, banyak perselisihan yang perlu dileraikan, banyak potensi insani yang perlu dibangunkan kerana perjuangan kerana Allah dan Rasul mesti bertitik tolak dengan pengorbanan dan berjiwa besar untuk melihat kesatuan umat menjadi sesuatu yang amat utama.
Itulah kunci kekuatan yang harus dikembalikan kerana Islam yang kita anuti, mendidik kita menjadikan ukhuwah Islami sebagai prasyarat hijrah dan perubahan atas jalan yang diredai Allah.
Sumber: Utusan