Permohonan Azmin Cabar Keputusan Ketua Audit Negara Didengar 18 Nov


KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi hari ini menangguhkan pendengaran permohonan kebenaran semakan kehakiman yang difailkan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengenai 1MDB, kepada 18 Nov.

Mohamed Azmin mencabar keputusan Ketua Audit Negara yang mengklasifikasikan Laporan Ketua Audit Negara terhadap 1Malaysia Development Berhad sebagai rahsia rasmi.

Hakim Datuk Hanipah Farikullah menetapkan tarikh itu di dalam kamarnya berikutan pihak responden baru menerima dokumen berkaitan permohonan itu Isnin lepas.

Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan yang ditemui pemberita berkata mahkamah juga menetapkan 3 Nov ini untuk pengurusan kes. Mahkamah dijadualkan mendengar permohonan menteri besar Selangor itu hari ini.

Mohamed Azmin yang juga Anggota Parlimen Gombak dan Timbalan Presiden PKR, memfailkan permohonan berkenaan pada 15 Ogos lepas dan menamakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Ketua Audit Negara Tan Sri Amrin Buang serta kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga ketiga.

Dalam permohonannya, Mohamed Azmin menuntut suatu deklarasi bahawa tindakan responden pertama iaitu perdana menteri yang mengklasifikasikan laporan 1MDB sebagai rahsia rasmi adalah suatu tindakan dalam konflik kepentingan.

Beliau juga menuntut suatu deklarasi bahawa klasifikasi laporan 1MDB sebagai rahsia rasmi oleh responden kedua (Amrin) adalah menyalahi undang-undang dan ultra vires Perlembagaan Persekutuan, Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan/atau Akta Audit 1957.

Selain itu, beliau juga menuntut suatu perintah mandamus bagi memaksa semua responden, pekerja-pekerja, pegawai-pegawai, ejen-ejen atau dengan apa jua cara dengan serta-merta untuk mengklasifikasikan semula Laporan 1MDB menurut Seksyen 2C OSA 1972 dan menyiarkannya kepada orang ramai.

Mohamed Azmin mengemukakan tuntutan berkenaan dengan alasan bahawa keputusan untuk mengklasifikasikan laporan 1MDB sebagai rahsia rasmi adalah tidak berpelembagaan kerana melanggar Perkara 107 Perlembagaan Persekutuan.

Dakwanya keengganan responden untuk mengklasifikasikan semula laporan berkenaan adalah tidak munasabah. – BERNAMA