JAKARTA – Ketika pakatan pembangkang di Malaysia secara terang hina Islam apabila bertegas menolak rang undang-undang pemerkasaan kuasa mahkamah syariah, lain halnya di Indonesia.
Akibat tekanan kuat umat Islam republik itu, Gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama atau lebih dikenali sebagai Ahok yang merupakan etnik Cina dan beragama Kristian akhirnya tampil memohon maaf secara terbuka.
Ia susulan kenyataan beliau dilihat menyinggung masyarakat Islam apabila mempertikaikan surah Al Maidah yang terkandung di dalam Al-Quran ketika berkempen pada pilihan raya di Pulau Seribu di sini, baru-baru ini.
Media dalam talian hari ini memetik Ahok sebagai berkata bahawa ucapannya dalam satu majlis bertemu pengundi itu sebenarnya tidak mempunyai maksud untuk mempertikai surah berkenaan dan mempersenda Al-Quran.
“Saya mohon maaf dan jangan diungkit-ungkit lagi perkara ini kerana saya tidak bermaksud seperti yang dilaporkan oleh pihak tertentu,” katanya yang mempertahankan jawatannya dengan berdepan dua pasangan pencabar.
Ahok dikatakan mendakwa ada pihak yang cuba memperdayakan pengundi Islam dengan memetik ayat 51 Surah Al Maidah yang bermaksud umat Islam dilarang memilih orang bukan Islam untuk menjadi pemimpin mereka.
Gabenor itu, yang sering mendapat perhatian media kerana berani mengambil tindakan tidak popular termasuk memindahkan penduduk setinggan dan meroboh sarang pelacuran, adalah satu-satunya calon bukan Islam.
Beliau kini bertanding bagi merebut semula jawatan Gabenor ibu kota Indonesia tersebut pada Pilkada atau pilihan raya umum peringkat daerah yang akan diadakan secara serentak mulai Februari tahun depan.
Ketua Perhubungan Masyarakat, Polis Republik Indonesia, Boy Rafli Amar dalam satu kenyataan pula berkata Bahagian Siasatan Jenayah polis menerima laporan daripada beberapa orang awam berhubung kenyataan Ahok itu.
Mereka mendakwa kenyataan Ahok sebagai mempersenda Islam. Boy berkata polis akan menjalankan siasatan dan meminta semua pihak tidak memainkan isu sensitif ketika berkempen bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku.
Majlis Ulama Indonesia (MUI) dalam kenyataannya pula berkata, ucapan Ahok memang menyalahi undang-undang kerana dianggap hina Al Quran dan golongan ulama yang membuat penafsiran maksud ayat surah Al Maidah itu.
Ketua Umum MUI, Ma’ruf Amin berkata ayat itu secara jelas melarang umat Islam memilih Yahudi dan Nasrani sebagai pemimpin dan kenyataan Ahok konon umat Islam diperdaya ayat itu adalah penghinaan terhadap Islam.
Menurut beliau, pihak MUI sentiasa meminta kerajaan dan masyarakat supaya menjaga harmoni kehidupan beragama, bermasyarakat, berbangsa, serta mencegah setiap penodaan dan penistaan Al-Quran dan agama Islam.
Justeru, Ma’ruf menggesa polis supaya mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang cuba melakukan penistaan terhadap Islam, selain meminta masyarakat bertenang menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, sebuah badan bukan kerajaan, Jaringan Swadaya Warga Jakarta Raya (Jawara) yang menyokong pasangan Ahok-Djarot Saiful Hidayat meminta semua pihak agar berhenti memainkan isu kaum dan agama.
Ketua Umum Jawara, Mulyadi Guntur berkata kebelakangan ini, situasi kempen Pilkada semakin mencemaskan kerana proses demokrasi dicemari dengan isu agama dan kaum, walaupun Ahok telah pun memohon maaf.
“Tiada siapa pun sempurna. Beliau sudah minta maaf, sebagai bangsa Pancasila, ya dimaafkan. Soal undang-undang biarkan berjalan,” katanya kesal tindakan sesetengah pihak meraih sokongan dengan cara ekspoitasi isu agama.
Ahok, yang bertanding atas sokongan parti PDI-P pimpinan bekas presiden Indonesia, Megawati Soekarnopitri serta Golkar dan Nasdem, akan dicabar dua pasangan yang bertanding atas dua lagi gabungan parti-parti politik.
Pasangan Anies Baswedan-Sandiaga Uno dan pasangan Agus Harimurti Yudhoyono-Sylviana Murni dijangka memberi saingan sengit kerana Ahok menggambarkan dirinya sebagai proksi pengaruh Megawati.
Manakala dua lagi pasangan pencabar Ahok itu melambangkan kekuatan pengaruh mantan presiden terdahulu, Susilo Bambang Yodhoyono dan bekas calon presiden pada pemilihan 2014, Prabowo Subianto.
Lebih 7.4 juta warga Jakarta disahkan sebagai layak mengundi untuk memilih Gabenor dan timbalannya pada Pilkada yang dijadualkan berlangsung 20 Februari tahun depan. – Agensi