Petronas Sahkan Insiden Stesen Minyak Meletup, 1 Maut


Bagaikan diuji Allah SWT dengan dugaan berat hari ini, negeri Johor sekali lagi menerima berita buruk apabila sebuah stesen minyak di negeri itu dilaporkan telah meletup secara tiba-tiba sebentar tadi.

Difahamkan insiden tersebut berlaku di Stesyen Petronas Taman Austin Height, Mount Austin, kira-kira jam 2.55 petang tadi.

Kejadian berkenaan turut disahkan oleh pihak Petronas dalam satu kenyataan yang dikeluarkan kepada media, hari ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Petronas, punca letupan itu berlaku sewaktu kerja-kerja penyelenggaraan fasiliti tangki gas asli untuk kenderaan (NGV) di stesyen minyak berkenaan.

Mangsa yang terkorban, Mohd Faizal Mazlan, 33, difahamkan berada berdekatan dengan tangki NGV tersebut, sebelum tercampak beberapa meter dari kawasan letupan.


“Pihak syarikat dengan rasa kesal ingin memaklumkan bahawa kejadian ini telah mengakibatkan satu kemalangan jiwa yang melibatkan kontraktor kami.

“Kami ingin menyampaikan ucapan takzaih dan rasa sedih kami kepada keluarga mangsa dan siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti impak dan punca kejadian,” kata Petronas dalam kenyataan rasmi yang dipetik menerusi laman Facebook syarikat itu.


Susulan insiden berkenaan, laluan lebuh raya yang menghubungkan stesen minyak itu ditutup buat sementara.

Sementara itu, Ketua Operasi dari Angkatan Pertahana Awam (APM) Daerah Johor Bahru, Leftenan Mohd Aziz Jupri mengatakan pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 3 petang dan tiba di lokasi kejadian lima minit kemudian.


“Setibanya di lokasi kejadian, memang terdapat kebakaran di bahagian belakang stesen minyak dan mangsa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri, sebelum diberi rawatan pertolongan cemas,” katanya.

Rakaman insiden letupan itu kini giat dikongsikan netizen di media sosial. – Kedahnews.com