Piala Malaysia: Kedah Cuti 31 Oktober (Isnin) Jika Lang Merah Juara


ALOR SETAR - Kerajaan Barisan Nasional (BN) Negeri Kedah bersetuju untuk menghadiahkan cuti umum pada 31 Oktober, Isnin ini kepada seluruh rakyat di negeri itu sekiranya pasukan bola sepak kebanggaan negeri berjaya menjuarai TM Piala Malaysia 2016, malam ini.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah turut mengumumkan ganjaran bonus berupa wang tunai berjumlah RM25,000 bagi setiap pemain dan skuad Lang Merah bakal mengadakan lawatan perlawanan persahabatan ke luar negara yang sesuai sebagai bonus tambahan kepada pasukan tersebut.

"KFA memutuskan untuk memberi (imbuhan) sebanyak RM20,000 dan kerajaan negeri menambah RM5,000 bagi menaikkan lagi semangat pemain," katanya.

Beliau mengumumkan demikian di majlis ramah mesra dan makan malam, Menteri Besar Kedah Bersama Pemain Pasukan Hijau Kuning, yang diadakan malam tadi, sehari sebelum perlawanan akhir TM Piala Malaysia 2016 di antara pasukan Kedah dan Selangor berlangsung di ibu negara.

Selain itu, beliau turut memaklumkan bahawa sambutan besar besaran juga akan diadakan di Lapangan Terbang Sultan Halim (LTSH) bagi menyambut kepulangan wira-wira negeri itu sebagai tanda penghargaan kepada mereka membawa pulang piala paling berprestij di Malaysia itu.

Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Kedah (KFA) itu turut menjelaskan bahawa KFA sebelum ini telah melakukan bayaran bonus sebanyak RM9,000 beserta imbuhan tambahan RM3,000 sebagai bonus bagi melayakkan diri ke perlawanan separuh akhir, baru-baru ini.


Ahmad Bashah dalam kenyataan beliau juga meluahkan penghargaan tidak terhingga kepada "pemain ke-12" skuad Lang Merah yang merujuk kepada para penyokong Hijau Kuning yang tidak jemu-jemu memberi sokongan dan memberi semangat kepada pasukan kebanggaan anak-anak Kedah itu.

"Di kesempatan ini saya juga ingin menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan kepada 'pemain ke-12' kita iaitu penyokong hijau kuning yang akan turut serta di Stadium Shah Alam untuk menggamatkan suasana bagi memberi semangat kepada pasukan," katanya.

Justeru itu, beliau berharap agar seluruh penyokong pasukan Kedah tidak akan berganjak dari Stadium Shah Alam malam ini bagi memberi sokongan padu dan semangat jitu buat Lang Merah yang berjuang di atas padang hingga ke tiupan wisel yang penghabisan.

Katanya, berkat dari doa, usaha dan sokongan padu dari setiap anak Kedah bakal mengembalikan era kegemilangan bola sepak negeri Jelapang Padi itu yang pernah merangkul kejuaraan sebanyak 4 kali sebelum ini, pada tahun 1990, 1993,2007 dan 2008. -Kedahnews.com