Pihak Berkuasa Adil Terhadap Kumpulan "Merah" Dan "Kuning"


KUALA LUMPUR – Pihak berkuasa akan berlaku adil dan tidak memihak kepada mana-mana kumpulan yang melanggar Akta Perhimpunan Aman 2012 ketika melakukan demonstrasi jalanan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata pihak berkuasa tidak akan memilih warna sama ada kumpulan merah atau kumpulan kuning dalam mengambil tindakan terhadap mereka yang menyalahi undang-undang.

“Kami (pihak berkuasa) akan berlaku adil terhadap semua pihak dan tidak melihat kepada warna sama ada (kumpulan) merah atau kuning dalam mengambil tindakan.

“Mana-mana pihak yang melanggar undang-undang yang telah ditetapkan di dalam Akta perhimpunan Aman 2012 akan diambil tindakan sewajarnya,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, semalam.

Dalam pada itu, diminta mengulas dakwaan Pengerusi Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu Datuk Jamal Md Yunus yang mendakwa Bersih 5 mempunyai kaitan dengan kumpulan militan Daesh, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata pihaknya tidak menerima sebarang maklumat berhubung perkara itu.

Jamal menyerahkan dokumen setebal 22 muka surat yang didakwa mengandungi bukti Perhimpunan Bersih 5.0 diserapi unsur Daesh kepada pihak polis di perkarangan Bukit Aman di sini, pada 4 Okt lepas. – BERNAMA