"Pihak Polis Sangat, Sangat Baik. Saya Sukakan Polis" - Siti Kassim


SHAH ALAM - Peguam dan aktivis, Siti Kassim memberikan keterangan kepada polis kerana menunjukkan jari tengah kepada penonton yang hadir pada forum mengenai Rang Undang-Undang Syariah PAS bulan lepas.

Beliau memasuki Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam bersama empat peguam pada kira-kira pukul 8.30 malam Isnin bagi merekodkan keterangannya.

"Pihak polis sangat, sangat baik. Saya sukakan polis, mereka baik dengan saya. Mereka begitu memberi kerjasama dan juga sangat membantu.

"Saya amat menghargai polis yang bersikap profesional dengan kami," katanya sejurus keluar dari balai pada kira-kira pukul 10 malam.

Beliau disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan seseorang.

Siti berkata, beliau tidak berasa bersalah berhubung tindakannya itu.

"Bagi saya, ia merupakan satu tindak balas yang sesuai ketika itu. Ia berlaku disebabkan kekecewaan saya. Tindak balas itu secara spontan kerana kecewa dengan gangguan mereka," katanya.

Siti menunjukkan jari tengah kepada penonton yang mengejek tindakannya kerana membantah forum PAS bertajuk 'Pindaan Akta 355: Antara Realiti Dan Persepsi" pada 5 September lalu.

Sumber: mStar