Pindaan Akta Mahkamah Syariah Diyakini Mampu Tangani Jenayah

KUALA LUMPUR - Cadangan pindaan terhadap Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) bagi memperkasa mahkamah syariah di negara ini dilihat mampu menangani pelbagai jenayah syariah termasuk kelahiran anak luar nikah.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSiM), Datuk Prof Mahamad Naser Disa undang-undang yang lebih ketat diperlukan bagi membendung kelahiran anak luar nikah berikutan peningkatan kes itu saban tahun.

Beliau berkata dalam tempoh 2013 hingga 2015, kira-kira 159,000 anak luar nikah dilahirkan di negara ini.

"Kuasa hukuman mahkamah syariah yang kini dibataskan kepada kadar maksimum penjara tiga tahun, denda RM5,000, enam kali sebatan syar'ie tidak lagi memberi pengajaran kepada pesalah syariah.

"Kalau kita tidak cegah daripada sekarang, kita nak tunggu zaman anak cucu, baru kita nak cegah, ia sudah terlambat," katanya pada Forum Mega Pemantapan Syariat: Tanggungjawab Parlimen dan Hak Umat Islam di Pusat Islam di sini, semalam.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil Tan Sri Syeikh Ghazali Abd Rahman serta anggota panel forum terdiri daripada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan dan Ketua Wanita Parti Amanah, Dr Siti Mariah Mahmud.

Pada 26 Mei lepas, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membentangkan usul Rang Undang-Undang Persendirian iaitu Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)(Pindaan) 2016 (Akta 355) di Dewan Rakyat.

Mahamad Naser berkata walaupun usul itu dikemukakan parti pembangkang, ia turut mendapat sokongan pemimpin kerajaan dan ramai yang melihat perkembangan itu sebagai detik yang menyatukan umat Islam. - Bernama