PKR Kedah Ucap "Selamat Maju Jaya" Pada Ezam


ALOR SETAR - PKR Kedah mengalu-alukan penyertaan bekas Senator, Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor bersama pembangkang apabila menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), baru-baru ini.

Pengerusinya, Dr Azman Ismail berkata, pihaknya tiada halangan untuk bekerjasama semula dengan Mohamad Ezam walaupun beliau pernah meninggalkan PKR dan menyertai Umno pada Mei 2008.

“Saya mengalu-alukan setiap rakyat Malaysia bersama memperkuatkan pembangkang, termasuk Ezam. Selamat maju jaya buat beliau.

“Kita bersedia bersama dengan siapa sahaja untuk berusaha mengalahkan Umno dan BN. Yang lepas itu adalah sejarah dan kita tiada masalah tentang itu,” katanya kelmarin.

Ahli Parlimen Kuala Kedah itu turut menyeru kepada semua pemimpin Umno yang lain supaya meninggalkan parti itu dan bersama perjuangan rakyat.

Mohamad Ezam sebelum ini lantang menentang Tun Dr Mahathir Mohamad sejak era reformasi pada 1998 selepas mentornya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dipecat.

Beliau yang merupakan orang kanan kepada Anwar itu meninggalkan PKR dan menyertai Umno pada 2008.

Sumber: Sinar Harian