Polis Dedah Taktik Baru Sindiket Judi Di Kedah

Gambar Hiasan
ALOR SETAR - Polis membongkar kegiatan sebuah premis kedai yang berselindung di sebalik bangunan baharu yang belum dipasang meter elektrik bagi menjalankan aktiviti judi mesin berkomputer di Taman Desa Aman, Kulim, Isnin lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah, Senior Asisten Komisioner Mohd Nashir Ya berkata tujuh lelaki tempatan berusia antara 17 dan 50 tahun yang merupakan penjaga premis dan kaki judi, turut ditahan dalam serbuan pada 11.10 malam itu.

Beliau berkata operator perjudian menggunakan bangunan kedai berteres tanpa bekalan elektrik itu sebagai teknik baharu untuk mengaburi mata polis.

"Dari luar, premis berkenaan kelihatan belum dihuni kerana tiada meter elektrik selain pintu hadapan yang sentiasa ditutup dan suspek perlu menggunakan pintu belakang untuk memasuki premis berkenaan.

"Semasa serbuan, kami dapati semua mesin judi dihidup menggunakan bekalan elektrik yang dicuri dan disambung secara haram," katanya dalam kenyataan semalam.

Mohd Nashir berkata dalam serbuan itu, turut dirampas wang tunai berjumlah RM600, set komputer, modem wi-fi dan penghala.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan. - Bernama