Polis Kedah Keluar 347 Saman Dalam "Op Samseng Jalanan"


ALOR SETAR - Polis mengeluarkan 347 saman dalam `Op Samseng Jalanan' di dua lokasi berasingan di sekitar Kedah, sejak Sabtu sehingga malam kelmarin.

Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Kedah, Superintendan Zahari Mohamed berkata, pemeriksaan dilakukan terhadap 163 motosikal, 76 kereta dan 56 kenderaan lain.

Katanya, dalam operasi tiga jam bermula 1 pagi pada 1 Okt lepas di sekitar Guar Chempedak, polis memeriksa 11 motosikal dan 11 saman dikeluarkan atas kesalahan tidak memiliki lesen, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi dan tidak mempunyai cermin sisi.

"Dalam operasi pada 2 Oktober yang dijalankan di sekitar Kuala Muda bermula pukul 1 hingga 5 pagi pula, kita memeriksa 152 motosikal, kereta (76) dan kenderaan lain sebanyak 56.

"Jumlah saman yang telah dikeluarkan sebanyak 336 atas kesalahan tidak memiliki lesen, cukai jalan tamat tempoh dan pemandu bawah umur," katanya di sini.

Sebanyak 34 kenderaan juga telah disita dan kebanyakan daripada mereka yang diperiksa berumur antara 13 dan 19 tahun yang tidak memiliki lesen. – Bernama