Polis Kota Setar Berkas Lelaki Pecah Cermin Kereta Guna Bahan Khas

ALOR SETAR – Polis menahan seorang lelaki berusia 30 tahun pada 3 Oktober lalu yang aktif melakukan rompakan dengan cara memecah cermin kenderaan sejak Ogos lepas.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Mohd Rozi Jidin berkata suspek berasal dari Kuala Kedah itu ditahan oleh sepasukan polis di sebuah motel di sini kira-kira pukul 12.30 tengah hari.

Beliau berkata hasil siasatan mendapati suspek menggunakan bahan khas yang telah dihancurkan untuk meretakkan cermin kenderaan terlebih dahulu sebelum mengambil barangan yang terdapat di dalam kenderaan itu.

“Suspek meletakkan kenderaannya berhampiran dengan kenderaan lain sebelum melontarkan bahan khas itu pada cermin kenderaan sehingga retak tanpa mengeluarkan sebarang bunyi penggera kenderaan itu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar di sini, semalam.

Katanya suspek menyasarkan tempat letak kereta awam di stadium, masjid dan pasar raya besar dengan merompak pelbagai barangan serta dokumen peribadi milik mangsa untuk dijual kepada pihak lain bagi mendapatkan wang dipercayai untuk membeli dadah.

Rozi berkata suspek yang juga seorang penganggur telah melakukan 10 kes pecah cermin kenderaan di daerah ini dengan jumlah kerugian dianggarkan kira-kira RM70,000.

Beliau berkata pihaknya percaya suspek yang melakukan aktiviti tersebut seorang diri turut melakukan kegiatan tersebut di tempat lain berdasarkan modus operandi suspek yang menyewa motel sebagai transit dan tempat menyimpan barang curi.

“Suspek kini ditahan reman sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sementara itu, Rozi berkata empat lelaki berusia di antara 26 hingga 43 tahun yang aktif melakukan kegiatan samun di kedai serbaneka 24 jam sejak awal Januari lepas telah ditahan pada 29 Sept lalu.

Katanya kumpulan penjenayah itu ditahan di sebuah rumah di Jalan Langgar di sini kira-kira pukul 2 pagi dan turut merampas pelbagai barangan hasil kegiatan samun seperti rokok dan barangan penjagaan diri.

Rozi berkata keempat-empat suspek yang tidak mempunyai pekerjaan menjual barangan curi kepada pihak lain pada harga lebih rendah dipercayai bagi mendapatkan wang untuk mendapatkan bekalan dadah.

Beliau berkata kumpulan tersebut yang melakukan 11 kes samun di daerah ini dengan jumlah kerugian lebih RM11,000 turut menggunakan peralatan seperti pisau dan parang untuk kegiatan tersebut tanpa memakai penutup muka.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 395/379 Kanun Keseksaan. – BERNAMA