Polis Kulim Rampas Dadah Dari "Mat Moto"

Abdullah menunjukkan hasil rampasan dalam Ops Sepadu Jihad Perangai Dadah di jalan Kampung Gunung Bongsu
KULIM - Polis Kulim berjaya merampas dadah bernilai hampir RM3,000 daripada seorang ‘mat moto’ pada Ops Sepadu Jihad Perangi Dadah yang dijalankan di Kampung Gunung Bongsu pada Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Abdullah Arshad berkata, Ops Sepadu tersebut dijalankan bagi menjayakan program Plan Strategik Pembasmian Dadah di kawasan kampung yang berisiko gejala tersebut.

Menurutnya, pada operasi tersebut, kira-kira jam 11.30 pagi yang disertai sepasukan polis dari bahagian Siasatan Jenayah Narkotik dan dibantu anggota dari balai polis daerah telah menahan sebuah motosikal jenis Honda Wave 125.

“Dari pemeriksaan yang dijalankan kita menahan seorang lelaki berusia 36 tahun dan didapati memiliki dadah jenis heroin seberat 53 gram dianggarkan bernilai RM1,113 manakala syabu seberat 4 gram bernilai RM600.

“Kita percaya suspek juga terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah di kawasan sekitar. Suspek juga didapati mempunyai lima rekod kesalahan lampau bersangkut kes narkotik dan jenayah, malah motosikal yang dinaiki suspek juga adalah motosikal curi yang dilaporkan hilang di Tasik Gelugor, Pulau Pinang sebukan lalu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim, kelmarin.

Tambahnya, enam lagi suspek berusia 30 hingga 48 tahun juga ditahan dan dikenal pasti mempunyai rekod kesalahan lampau bersangkut kes narkotik dan jenayah.

Selain itu, Abdullah berkata, Kampung Gunung Bongsu telah dipilih sebagai kampung angkat dalam Plan Strategik Pembasmian Dadah yang diarahkan Ketua Polis Kedah bagi memastikan setiap kampung bebas dadah.

“Kita telah menjadikan Kampung Gunung Bongsu sebagai kampung angkat pertama bermula bulan ini hingga Mac tahun depan.

“Dalam tempoh enam bulan kita bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan balai polis berhampiran akan memastikan kawasan tersebut bebas dari gejala dadah,” katanya.

Sumber: Sinar Harian