Polis Rampas 1.2 Kg Heroin Di Bandar Putra, Kulim

KULIM - Polis menahan tiga lelaki dan merampas 1.2 kilogram dadah jenis heroin bernilai RM27,239 serta dua pucuk senjata api tiruan dalam satu serbuan Ops Tapis di sebuah rumah di Bandar Putra, dekat sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Abdullah Arshad berkata, turut dirampas dalam serbuan itu ialah wang tunai RM12,500, tiga alat penimbang, empat komputer riba, dua alat walkie-talkie dan dua kereta mewah jenis BMW.

Dua pucuk pistol tiruan yang dijumpai di rumah itu ialah jenis Walther P99 Compact Air Soft Gun dan Military 29598 Air Soft Gun.

"Kita turut temui beberapa pasang pakaian seragam serta peralatan tugasan polis di rumah itu dan masih menyiasat perkara ini," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Polis percaya kesemua suspek berusia antara 29 hingga 45 tahun itu adalah pengedar dadah di sekitar Kedah utara, berdasarkan alamat asal dua daripada suspek yang ditahan iaitu di Jitra.

Abdullah berkata, semakan ke atas dua buah kereta mewah tersebut pula mendapati ia didaftar di atas penama yang beralamat masing-masing di Jitra dan Permatang Pauh, Pulau Pinang, namun tiada rekod curi atau hilang.

Kesemua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 39A (1) ADB 1952, Seksyen 15(1)(a) ADB, Seksyen 36 Akta Senjata, Seksyen 89 Akta Polis dan Seksyen 489 Kanun Keseksaan. - Bernama