Polis Tahan 2 Lelaki Terbabit 33 Kes Curi Kabel TM Di Taman Nuri


ALOR SETAR – Polis menahan dua lelaki berusia 30-an yang terlibat dalam 33 kes kecurian kabel telekomunikasi milik Telekom Malaysia (TM) di sebuah rumah di Taman Nuri di sini, pada 17 Okt lepas.

Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Mohd Rozi Jidin berkata suspek yang juga bekas pekerja kontraktor syarikat telekomunikasi itu ditahan kira-kira 9 malam menerusi Op Kotak TM.

Beliau berkata lelaki tempatan itu dipercayai melalukan kegiatan mencuri kabel telekomunikasi dari ibu sawat telefon (turut dikenali kabinet) di sekitar daerah Kota Setar bagi mendapatkan tembaga, sejak Ogos lepas.

“Nilai anggaran kerugian akibat kegiatan mencuri itu ialah RM300,000 dan semasa kita tangkap suspek, hanya sebahagian kabel yang tinggal dan selebihnya telah dijual,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar di sini, semalam.

Mohd Rozi berkata modus operandi suspek ialah dengan mengenakan pakaian seperti kontraktor TM bagi mengelak kegiatan mereka dikesan pihak berkuasa.

Kabel yang dicuri itu kemudian diproses dan dijual di kedai barangan lusuh dengan harga RM20 sekilogram, katanya.

Mohd Rozi berkata suspek yang ditamatkan perkhidmatan menyelenggara peralatan komunikasi TM sejak 2012 itu melakukan kegiatan mencuri pada waktu siang dan malam dengan menumpukan kawasan bukan tumpuan orang ramai.

Beliau berkata kedua-dua suspek ditahan reman sehingga 27 Okt bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 431 (a) Kanun Keseksaan.

Katanya, polis turut menahan dua lelaki pemilik barangan lusuh berumur antara, 47, dan, 60, tahun bagi membantu siasatan kerana membeli barang curi.

“Saya mengingatkan kepada pemilik barangan lusuh agar tidak membeli barang curian seperti kabel telekomunikasi dan mereka akan berhadapan dengan tindakan seperti ditarik balik lesen,” katanya.

Beliau berkata pihaknya turut bekerjasama dengan TM dalam usaha membanteras kes kecurian peralatan milik TM bagi mengelak kegiatan berkenaan berulang pada masa depan. – BERNAMA