Polis Tahan Reman Suspek Bunuh Ibu Saudara, Adik Di Baling

BALING – Polis menahan reman suspek utama yang dipercayai membunuh ibu saudara dan adiknya yang lumpuh dalam satu kejadian amuk di Kampung Lanai, Kupang dekat sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Baling Supt Sharifuddin Yusof berkata perintah tahanan reman terhadap suspek lelaki berusia 32 tahun itu dikeluarkan Majistret Mohd Izmi Ibrahim di Mahkamah Majistret Sik, pagi semalam.

Dalam kejadian kira-kira 9.50 pagi semalam, seorang lelaki yang juga pesakit mental, bertindak memukul adik lelakinya yang lumpuh dan ibu saudaranya sehingga mati.

Suspek mengambil alat pemarut kelapa dan sebatang kayu untuk memukul adiknya, Mohd Azwan Wahab, 25, hingga mati, manakala ibu saudara suspek, Rokiah Abdullah, 54, turut maut apabila dihentak pada kepala menggunakan sebiji bata ketika cuba membantu meleraikan keadaan. – BERNAMA