PPBM Kedah Enggan Dedah Jumlah Keahlian Terkini

Gambar kredit ehsan: Facebook PPBM Sg Petani
ALOR SETAR - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Kedah enggan mengulas jumlah terkini ahli yang mendaftar dengan parti baru itu meskipun ia sedang hangat berkempen di seluruh negeri berkenaan.

Ketua Penyelaras Keahlian PPBM Negeri, Mejar (B) Anuar Abdul Hamid berkata, beliau tidak dapat mendedahkan jumlah keahlian yang sudah berdaftar di negeri Kedah kepada umum bagi mengelak cubaan sabotaj pihak tertentu.

"(Jumlah) keahlian (ahli PPBM di Kedah) itu rahsia, saya tak boleh nak beritahu. Yang itu kita tak dedahkan, satgi (nanti) depa sabotaj nanti.

"Saya pun tak mahu dedahkan apa-apa, bahaya.. bahaya," tegas beliau ketika dihubungi Kedahnews.com di sini, hari ini.

Jelas Anuar, terdapat beberapa cubaan sabotaj dari pihak tertentu terhadap kempen keahlian PPBM dan ia menyebabkan beliau enggan mendedahkan jumlah sebenar ahli parti itu di Kedah.

Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini mendedahkan bahawa parti baru itu telah mempunyai puluhan ribu ahli di seluruh negara, namun tidak memberikan jumlah angka sebenar keahlian yang beliau maksudkan.

Ekoran itu, wujud dakwaan yang mengatakan parti itu tidak mendapat sambutan dari kalangan masyarakat yang melihat PPBM sebagai sebuah parti yang dinaungi nama-nama besar, namun gagal menjelaskan tentang hala tuju dan dasar parti, kecuali matlamat menjatuhkan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dari kerusi Perdana Menteri.

Walau bagaimana pun, Naib Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir bagaimanapun mendakwa parti barunya itu sudah menerima keahlian mencecah 500,000 ahli di seluruh negara. -Kedahnews.com